Kenaikan yuran: UTM adakan pertemuan dengan MJIT

No Image Caption
A
A
A

JOHOR BAHRU - Satu pertemuan melibatkan pelbagai pihak akan diadakan dalam masa terdekat bagi menyelesaikan isu kenaikan yuran berganda yang dibangkitkan oleh pelajar Institut Teknologi Antarabangsa Malaysia-Jepun (MJIIT) seliaan Universiti Teknologi Malaysia (UTM).

Timbalan Naib Canselor UTM (Akademik dan Antarabangsa), Prof Ir Dr Zainuddin Abd Manan berkata pertemuan itu yang melibatkan pihaknya, Kementerian Pendidikan dan Suara MJIIT (MJIIT Voices) diharap dapat mengambil kira kepentingan semua pihak untuk menemukan penyelesaian.

Namun begitu, sebelum pertemuan, Zainuddin menasihatkan pelajar yang terlibat agar memahami prosedur universiti dan ‘bersedia’ untuk dijemput dalam sesi perbincangan tersebut.

“Universiti ini memandang serius terhadap isu ini, malah telah mengambil pelbagai pendekatan dalam memberikan penjelasan.

“Antara penjelasan yang telah diberikan adalah dengan memaklumkan bahawa MJIIT adalah sebuah entititi yang berautonomi penuh dari segi tadbir urus dan kewangan.

"Mereka (pelajar) juga telah dimaklumkan bahawa kos sebenar untuk mengikuti pengajian tanpa subsidi di MJIIT adalah RM79,868 untuk empat tahun atau lapan semester.

“Namun, pihak universiti telah bersetuju untuk menanggung 49 peratus daripada yuran berkenaan, sekali gus mengurangkan yuran yang dikenakan kepada pelajar MJIIT kepada RM40,000 untuk empat tahun atau lapan semester,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurutnya, untuk menjelaskan lagi situasi, UTM juga telah memberi maklum balas secara berperingkat kepada pihak Suara MJIIT dalam pelbagai bentuk seperti surat rasmi, kenyataan rasmi melalui laman media sosial dan emel.

Artikel Berkaitan:

Selain itu, surat penjelasan kepada Pengarah Bahagian Governan, Jabatan Pendidikan Tinggi, Kementerian Pendidikan Malaysia turut telah diberikan pada 16 November 2018.

Zainuddin berkata demikian sebagai mengulas tindakan sekumpulan mahasiswa MJIIT melakukan “flash mob” di depan pintu masuk Parlimen semalam sebagai tanda bantahan terhadap Menteri Pendidikan Dr Maszlee Malik yang didakwa berdiam diri dalam kemelut kenaikan yuran universiti tersebut.

Sebelum ini, Pengerusi Suara MJIIT, Tan Cheng Siong, dilaporkan sebagai berkata MJIIT yang di bawah seliaan UTM menaikkan yuran khas pengajian mereka daripada RM945 kepada RM5,000 setiap semester dan ia didakwa berlaku sejak empat tahun lepas.- Bernama

ARTIKEL BERKAITAN: Penuntut MJIIT-UTM bantah yuran melampau