Saliran air tertimbus punca bendang 'termenung'

Azmi menunjukkan bendang termenung yang dihadapi olehnya di Kampung Baru, Batu 17 Tunjang hari ini.
Azmi menunjukkan bendang termenung yang dihadapi olehnya di Kampung Baru, Batu 17 Tunjang hari ini.
A
A
A

JITRA - Keadaan bendang 'termenung' yang dialami oleh petani di Kampung Baru Batu 17, Tunjang di sini adalah disebabkan terdapat dua lokasi saliran air keluar sedia ada di lot terbabit tertimbus sewaktu pembinaan.

Ketua Cawangan Komunikasi Korporat Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA), Mohd Hafizi Zakaria, berkata, pihak kontraktor telah membina satu saliran air keluar pada lokasi sedia ada dan satu lagi dalam masa terdekat kerana perlu mobalisasi jentera pembinaan yang digunakan di lokasi lain.

Pihaknya mengakui berlaku sedikit kelewatan akibat masalah ini, bagaimanapun pihak kontraktor telah membuat penyelesaian sementara dengan menyediakan pam untuk mengepam air keluar semalam.

"Sebagai makluman lot berkenaan terbahagi kepada tiga petak kecil di mana tuan tanah tidak memberikan kerjasama antara satu sama lain bagi menyalirkan air keluar pada satu lokasi yang telah dibina.

"Jadi adalah menjadi satu lumrah jika pembinaan belum siap, akan ada perkara yang perlu diselesaikan. Namun kontraktor terlibat perlulah mengekalkan ‘status quo’ dan keadaan sedia ada," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Hafizi berkata pihak kontraktor turut akan membina struktur pada tali air bagi menyelesaikan masalah bekalan air ke sawah.

"MADA bersama agensi terlibat iaitu Jabatan Pengairan dan Saliran Muda serta Bahagian Pengairan Saliran Pertanian Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani (MOA) serta pihak kontraktor akan berusaha menyelesaikan masalah itu dalam masa terdekat.

Semalam, Sinar Harian melaporkan pesawah di kawasan ini buntu apabila kira-kira 30 hektar sawah mereka dilanda pelbagai masalah perparitan termasuk menjadi ‘bendang termenung’.

Artikel Berkaitan:

Masalah yang dikatakan berpunca daripada projek pembinaan saliran bagi membaik pulih sistem pengairan di kampung itu menyebabkan mereka menanggung kerugian ribuan ringgit.