Kementerian Wilayah tunggu ulasan Kabinet

Khalid menyerahkan insiatif PBJ Wilayah Persekutuan kepada salah seorang penerima asnaf sewaktu program berlangsung di Kompleks Sukan Pantai Eco Park.
Khalid menyerahkan insiatif PBJ Wilayah Persekutuan kepada salah seorang penerima asnaf sewaktu program berlangsung di Kompleks Sukan Pantai Eco Park.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kementerian Wilayah Persekutuan sedang menunggu ulasan maklum balas kertas Kabinet berhubung isu Taman Rimba Kiara daripada pihak berkaitan sebelum ia dibawa ke Parlimen.

Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Abdul Samad berkata, pihaknya telah menyerahkan kertas Kabinet itu kepada kementerian-kementerian terlibat antaranya Kementerian Kewangan, Kementerian Air, Tanah dan Sumber Asli, serta Pejabat Peguam Negara sebelum ini bagi mendapatkan ulasan berhubung perkara itu.

Beliau berkata, pihaknya menjangkakan kementerian terlibat akan memberi maklum balas berkaitan isu berkenaan dalam tempoh sebulan lagi.

"(Perkara ini) Terpulang kepada kementerian terlibat. Kalau lebih cepat lebih bagus.

"Kita turut serahkan kertas itu kepada Pejabat Peguam Negara supaya pihak berkenaan dapat memberi ulasan terhadap persoalan yang dibangkitkan," katanya pada sidang akhbar selepas Majlis Penyerahan Projek Baiti Jainnati (PBJ) Wilayah Persekutuan 2019 yang berlangsung di Kompleks Sukan Pantai Eco Park hari ini.

Pada April 2017, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur mengeluarkan perintah pembangunan di Taman Rimba Kiara, melibatkan pembangunan satu blok rumah mampu milik dan lapan blok kondominium mewah.

Bagaimanapun cadangan itu mendapat tentangan banyak pihak termasuk penduduk di kawasan tersebut.

Selain itu, Khalid sebelum ini turut mengumumkan pengecilan projek berkenaann yang disifatkan sebagai keputusan 'menang-menang' kepada semua pihak terlibat, tetapi turut dibantah Ahli Parlimen Segambut, Hannah Yeoh dan beberapa pihak lain.

Artikel Berkaitan: