Tempoh reman suami tikam isteri disambung

Laporan Sinar Harian 3 Julai lalu
A
A

MELAKA TENGAH - Tempoh reman seorang lelaki yang menikam isterinya hingga mati di Taman Seri Duyong, Fasa 2, disambung selama tujuh hari bermula hari ini.

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Afzanizar Ahmad berkata, lelaki berusia 56 tahun itu yang sebelum ini menerima rawatan di zon merah Hospital Melaka dipindahkan ke wad psikiatri di bawah pemantauan doktor.

"Tempoh reman pertama berakhir pada hari ini dan kerana itu kita mohon sambungan reman bagi membantu siasatan.

"Maklumat yang kita peroleh daripada pihak hospital, doktor belum membuat sebarang keputusan dan pengesahan berhubung sakit mental lelaki terbabit. Bapa kepada empat orang anak itu masih dipantau pihak perubatan di wad psikiatri," katanya.

Pada 3 Julai lalu Sinar Harian melaporkan seorang suri rumah ditemui mati dengan kesan tikam dipercayai dibunuh di Taman Seri Duyong Fasa 2 di sini.

ARTIKEL BERKAITAN: Suri rumah maut ditikam suami selepas bertengkar

Dalam kejadian jam 10 pagi itu, mangsa, Samnah Mohamed, 55, yang lengkap berpakaian ditemui terlentang di hadapan pekarangan rumahnya yang didiami bersama anak bongsunya berusia 25 tahun dan suaminya, 56.

Kes disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.