SRC bertegas pinda tujuan pinjaman wang KWAP: Saksi

No Image Caption
A
A
A

KUALA LUMPUR - Seorang saksi memberitahu Mahkamah Tinggi di sini hari ini bahawa wang pinjaman RM4 bilion yang diberikan kepada SRC International Sdn Bhd oleh Kumpulan Wang Persaraan Diperbadankan (KWAP) tidak boleh digunakan untuk tujuan kerja sosial, kerja amal atau politik serta untuk kepentingan peribadi.

Bekas Ketua Setiausaha Perbendaharaan Kementerian Kewangan yang juga bekas Pengerusi KWAP, Tan Sri Dr Wan Abdul Aziz Wan Abdullah, 67, berkata, ini kerana perkara-perkara itu tidak dinyatakan dalam kedua-dua perjanjian SRC dengan KWAP yang dibuat pada 2011 dan 2012.

“Wang pinjaman yang dibenarkan oleh KWAP tidak boleh digunakan untuk tujuan selain daripada yang dinyatakan di dalam surat permohonan dan perjanjian pinjaman.

ARTIKEL BERKAITAN: SRC bertegas pinda tujuan pinjaman wang KWAP: Saksi

"Sebarang salah guna boleh melanggar terma dan syarat perjanjian dan boleh menyebabkan “event of default” seperti dijelaskan dalam perjanjian pinjaman,” katanya yang membacakan pernyataan saksi pada perbicaraan kes Najib berhubung penyelewengan dana SRC International berjumlah RM42 juta.

Saksi pendakwaan ke-45 itu berkata sekiranya perkara itu berlaku, KWAP boleh menamatkan perjanjian pinjaman dan membuat tuntutan balik segala baki pinjaman pokok bercampur faedah yang dikenakan kepada peminjam.

KWAP telah memberi pinjaman kepada SRC pada Ogos 2011 berjumlah RM2 bilion dan pada Mac 2012, SRC mendapat pinjaman kedua juga berjumlah RM2 bilion.

Sebelum ini, saksi-saksi dalam keterangan mereka memberitahu mahkamah bahawa Syarikat Ihsan Perdana Sdn Bhd ditubuhkan untuk menjalankan kerja-kerja tanggungjawab sosial korporat (CSR ) bagi SRC.

Artikel Berkaitan:

Mahkamah juga diberitahu sebelum ini bahawa pinjaman pertama SRC adalah untuk modal pusingan dan aktiviti pelaburan am manakala pinjaman kedua adalah bagi aktiviti pelaburan dalam sumber asli dan modal pusingan.

Najib, 66, menghadapi tiga pertuduhan pecah amanah, satu pertuduhan salah guna kuasa dan tiga pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan dana SRC International Sdn Bhd berjumlah RM42 juta.

Perbicaraan di hadapan Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali bersambung esok. - Bernama