Pensyarah rugi RM25,000 rumah dipecah masuk

No Image Caption
A
A
A

ISKANDAR PUTERI - Seorang pensyarah lelaki kerugian kira-kira RM25,000 selepas rumah sewanya di Taman Pulai Utama, di sini, dipecah masuk pagi tadi.

Ketika kejadian pada jam kira-kira jam 8 pagi itu, mangsa yang berusia 30 tahun sedang bersiap untuk ke tempat kerja sebelum menyedari pintu hadapan rumahnya terbuka luas dan mendapati Proton Saga Flx berwarna putih miliknya tiada dalam kawasan rumah berkenaan.

Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri, Asisten Komisioner Dzulkhairi Mukhtar berkata, mangsa kemudiannya membuat pemeriksaan semula di dalam rumah dan mendapati terdapat barang-barang lain turut hilang.

"Mangsa mengesyaki rumahnya telah dimasuki oleh individu yang tidak kenali.

"Selain kereta miliknya yang didaftarkan pada 2012, satu beg galas berwarna hitam yang mengandungi pasport serta satu beg galas berwarna kelabu mengandungi sebuah laptop jenama Macbook Air turut hilang," katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.

Dzulkhairi berkata, hasil siasatan awal mendapati, suspek telah memecah masuk rumah mangsa melalui pintu hadapan dengan cara mengumpil pintu sliding.

"Suspek kemudiannya mengait kunci rumah menggunakan kayu dan penghujung kayu juga telah diikat menggunakan penyangkut baju.

"Tiada saksi bebas yang melihat kejadian itu berlaku dan tiada rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di kawasan kejadian.

Artikel Berkaitan:

"Dianggarkan mangsa mengalami kerugian lebih kurang RM25,000," katanya yang memberitahu siasatan juga mendapati mangsa telah tinggal di situ sejak 2015.

Beliau berkata, siasatan lanjut masih lagi diteruskan mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan.