Muhyiddin harap bukan sebab campur tangan istana

Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin ketika ditemui di lobi Parlimen di sini hari ini. - FOTO SHARIFUDIN ABDUL RAHIM
Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin ketika ditemui di lobi Parlimen di sini hari ini. - FOTO SHARIFUDIN ABDUL RAHIM
A
A
A

KUALA LUMPUR – Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin memberi bayangan terdapat campur tangan istana dalam isu siri perubahan penurunan had umur belia di Johor.

Beliau yang juga Presiden Bersatu berharap perkara yang diandaikan tersebut tidak berlaku dan Menteri Besar Johor, Datuk Dr Sahruddin Jamal perlu menjelaskan perkara itu kepada pihak istana.

"Saya diberitahu kerana pandangan Istana Johor. Ini soal pentadbiran sewajarnya diberi ruang kepada kerajaan negeri untuk melaksanakan dasar yang seragam. Kalau tidak esok akan timbul kekecohan.

ARTIKEL BERKAITAN: Had umur belia: Kerajaan kaji tindakan Johor buat pusingan U

"Saya minta pihak Menteri Besar timbang masak-masak, boleh pergi jumpa dan jelaskan dengan istana dan diharap istana tidak mencampuri," katanya ketika ditemui media di lobi Parlimen di sini hari ini.

Semalam, dalam tempoh 24 jam, kerajaan Johor membuat dua keputusan berbeza tentang penurunan had umur belia daripada 40 tahun kepada 30 tahun.

Selepas mengumumkan menerima perubahan kerajaan Persekutuan untuk menurunkan had umur kepada 30 tahun, Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan, Pembangunan Usahawan dan Koperasi Johor, Sheikh Umar Bagharib Ali memberitahu kerajaan negeri kembali kepada pendirian Dr Sahruddin sehari sebelum itu yang mahu had umur belia kekal 40 tahun.

“Saya pun hairan kenapa perkara ini berlaku (pusingan U) kerana ia telah pun dibincang panjang lebar di Dewan Rakyat di mana wakil-wakil Rakyat Johor semuanya menyokong. Disebabkan hal ini kita minta Johor jelaskan perkara ini secara mendalam.

Artikel Berkaitan:

“Kalau perlu, Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman pun boleh menghadap Sultan Johor untuk menjelaskan perkara ini, kerana saya diberitahu perubahan ini berlaku sebab pandangan istana.

“Saya hormati pandangan Sultan Johor dan Tunku Mahkota Johor, tapi kerajaan buat pindaan ini demi kebaikan rakyat, tapi saya berharap apa yang dianggap campur tangan istana itu tidak berlaku.

“Johor juga sebahagian daripada Persekutuan, maka perlu penyelarasan dibuat, tapi saya serahkan kepada Menteri Besar Johor untuk selesaikannya,” kata Menteri Dalam Negeri itu.