Terengganu sasar 6.5 juta pelancong menjelang 2025

Ariffin Deraman
Ariffin Deraman
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Kerajaan Terengganu menyiapkan Pelan Strategik Pelancongan Terengganu 2019-2023 dalam usaha meningkatkan jumlah kedatangan pelancong sehingga 6.5 juta orang setahun dengan pendapatan sehingga RM6 bilion menjelang 2025.

Exco Pelancongan, Kebudayaan dan Teknologi Maklumat, Ariffin Deraman berkata, pelan strategik itu akan menjadi rujukan dalam menentukan hala tuju strategik pelancongan Terengganu.

Menurutnya, antara misi utama pelan itu adalah untuk menarik dan meningkatkan kedatangan pelancong yang berbelanja, melalui peningkatan daya tarikan dan penyampaian perkhidmatan yang berkualiti tinggi dan menjadikan Terengganu sebagai destinasi pilihan.

“Kerajaan sangat komited mempergiatkan serta memajukan sektor pelancongan negeri sebagai pemangkin ekonomi di negeri ini. Sebab itu pelan strategik ini dibuat, dengan perancangan yang lebih teliti.

“Antara pendekatan akan dilaksanakan ialah mengadakan pelbagai promosi dan acara menarik, kreatif, berkesan dan 'visible' terutamanya dengan adanya produk pelancongan menarik dan terkini seperti jambatan angkat (drawbridge) yang menjadi mercu tanda baharu Terengganu,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas mengadakan perjumpaan dengan badan-badan bukan kerajaan (NGO) berkaitan pelancongan di Wisma Darul Iman di sini hari ini.

Dalam pada itu Ariffin optimis mampu mencapai sasaran kedatangan 5 juta pelancong tahun ini walaupun jumlah pelancong dilihat agak ‘lembab’ kerana situasi ekonomi global.

Menurutnya, beberapa program dirancang bermula dari Julai hingga September ini untuk menarik lebih ramai pelancong ke negeri ini antaranya Pertandingan Akhir Dikir Barat Sekolah-Sekolah Menengah Terengganu di Pantai Peranginan Kelulut, Marang pada 26 Julai ini.

Artikel Berkaitan:

“Kita juga akan adakan Festival Kenyir di Pengkalan Gawi, Tasik Kenyir pada 25-28 Julai; Karnival Pantai Terengganu di Pantai Batu Burok (12-16 September) dan ‘road show’ Beautiful Terengganu yang akan melibatkan ‘mini travel fair’, ‘tourism talk’ bersama penggiat industri pelancongan dan duta-duta kecil di negeri terbabit,” katanya.

Sementara itu, Ariffin berkata, kerajaan negeri menyambut baik penglibatan NGO berkaitan pelancongan untuk turut sama berkongsi idea dan pandangan dalam mempertingkatkan potensi pelancongan Terengganu, terutamanya bagi menyambut Tahun Melawat Malaysia 2020 pada tahun depan.