Segerakan projek pindah air hulu Sungai Perak

Dr Noor Azmi(dua kanan) turut berkesempatan menyerahkan sumbangan set kelengkapan sekolah kepada sebahagian pelajar memerlukan Dun Selinsing sambil diiringi Ahmad Saqif Ansorullah (tiga kiri).
Dr Noor Azmi(dua kanan) turut berkesempatan menyerahkan sumbangan set kelengkapan sekolah kepada sebahagian pelajar memerlukan Dun Selinsing sambil diiringi Ahmad Saqif Ansorullah (tiga kiri).
A
A
A

SELINSING - Sudah tiba masanya kerajaan PH menjadikan projek pemindahan air dari hulu Sungai Perak ke Tasik Bukit Merah, Bagan Serai sebagai satu keutamaan perlu disegerakan demi kepentingan masa depan lebih 30,000 pesawah di daerah Kerian.

Ahli Parlimen Bagan Serai, Datuk Dr Noor Azmi Ghazali berkata, projek itu disaran dilaksanakan secara lebih serius supaya masalah kejadian banjir sewaktu musim hujan dan kemarau sehingga menjejaskan bekalan air kepada penduduk daerah Kerian dapat ditangani segera.

Selain berfungsi sebagai bekalan pengairan sawah padi di daerah Kerian dan Seberang Perai Selatan(SPS), Dr Noor Azmi menegaskan Tasik Bukit Merah yang berusia lebih 100 tahun turut digunakan untuk kegunaan domestik, perindustrian di Kamunting dan resort di Bukit Merah ketika ini.

"Kita sedia maklum kerajaan negeri terdahulu pernah merancang pembinaan projek pemindahan air dari hulu sungai ke Tasik Bukit Merah dianggarkan bernilai RM400 juta dan cadangan itu pernah dibincangkan dalam sidang Dun dan Dewan Rakyat.

"Baru-baru ini, saya difahamkan Exco Kerajaan Negeri Perak, Abdul Yunus Jamhari memaklumkan perancangan itu rupanya masih di peringkat cadangan dalam satu program seminar anjuran Institut Penyelidikan Hidraulik Kebangsaan Malaysia(Nahrim).

"Memandangkan permohonan perlaksanaan projek itu sudah dikemukakan begitu lama dan masalah bekalan air dihadapi golongan pesawah daerah Kerian saban tahun sehingga menjejaskan pendapatan mereka, saya kira sudah tiba masanya kerajaan PH menjadikan projek itu sebagai satu keutamaan," katanya kepada media selepas menghadiri majlis majlis penyerahan kelengkapan sekolah sempena program Back To School 2019 Dun Selinsing, di sini, hari ini.

Majlis sumbangan Yayasan Perak itu disempurnakan Penyelaras Dun Selinsing, Ahmad Saqif Ansorullah Ahmad Jihbadz Mokhlis dan seramai 100 pelajar kurang berkemampuan dipilih menerima bantuan set kelengkapan sekolah bernilai RM150 seorang.

Dr Noor Azmi yang juga wakil rakyat Bersatu berkata, cadangan pelan pemindahan air itu juga memastikan inisiatif pengeluaran hasil padi membabitkan lebih 30,000 pesawah daerah Kerian akan semakin meningkat, sekali gus mengubah taraf kehidupan keluarga mereka.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, kerajaan PH perlu melihat keutamaan cadangan ini untuk jangka masa panjang, lagi-lagi ditambah dengan isu keperluan mendesak negeri Pulau Pinang untuk mendapatkan bekalan air mentah tambahan dari negeri Perak.

"Dahulu saya ada mencadangkan kerajaan negeri terdahulu melaksanakan projek telaga tiub dengan kerjasama Universiti Kebangsaan Malaysia(UKM) yang mempunyai kepakaran dalam kaedah itu.

"Kita memahami kos perlaksanaan kesemua kaedah mendapatkan bekalan air tambahan bagi menampung kapasiti Tasik Bukit Merah amat tinggi, termasuk penyediaan kolam takungan alternatif atau kaedah pemindahan air dari Hulu Sungai Perak menggunakan terusan.

"Namun, saya berharap cadangan perlaksanaannya tidak ditangguhkan lebih lama kerana perkara ini melibatkan masa hadapan golongan pesawah dan hala tuju industri penanaman padi di kawasan jelapang padi ketiga terbesar di Malaysia iaitu daerah Kerian," katanya.