Calon 18 tahun wajar diperhalusi: Mukhriz

Mukhriz
Mukhriz
A
A
A

ALOR SETAR - Timbalan Presiden Bersatu, Datuk Seri Mukhriz Mahathir menyifatkan pindaan berkaitan menurunkan had umur calon pilihan raya kepada 18 tahun, wajar diperhalusi lagi sebelum dibentangkan di Parlimen.

Menurut beliau, walaupun had sebagai calon boleh mencecah kepada usia lebih 90 tahun, namun menurunkan kepada usia 18 tahun wajar dipertimbangkan dalam pelbagai aspek.

Mukhriz berkata, pihaknya tiada masalah dengan syarat yang disyorkan pembangkang, iaitu pendaftaran pemilih secara automatik sekiranya had umur mengundi diturunkan daripada 21 kepada 18 tahun.

“Pindaan itu untuk penambahbaikan, saya setuju pindaan melibatkan pendaftaran automatik 18 tahun, mudah tak lagi perlu mendaftar dan boleh mengundi seperti diamalkan di Australia. Namun saya kurang pasti berhubung umur calon diturunkan kepada 18 tahun,” katanya pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat Exco di Wisma Darul Aman, hari ini.

Mukhriz berharap aspek terbabit wajar diperincikan lebih mendalam bagi melihat kesan yang lebih menyeluruh.

Rang Undang-Undang (RUU) Perlembagaan (Pindaan) 2019 dan RUU Majlis Keselamatan Negara (Pindaan) 2019 yang dijadualkan untuk bacaan kali kedua, ditarik balik di Dewan Rakyat, semalam.

Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, kerajaan menarik balik RUU Perlembagaan (Pindaan) 2019 itu bagi meminda penurunan had umur mengundi daripada 21 kepada 18 tahun, pendaftaran pemilih secara automatik dan menurunkan had umur calon pilihan raya kepada 18 tahun.

Mengulas mengenai pindaan had umur belia daripada 40 kepada 30 tahun, Menteri Besar Kedah itu berkata, Kedah bersetuju dengan cadangan itu dan menyokong sepenuhnya.

Artikel Berkaitan:

“Kita setuju dengan penurunan had umur itu, namun kita faham prosesnya mengambil masa. Sambil proses itu berjalan dan sebelum diwartakan sebagai undang-undang, kita gunakan had umur sedia ada, iaitu 40 tahun,” katanya.