Kes SRC: Najib arah KWAP beri duit awal sebelum surat jaminan keluar

A
A

Kes SRC: Najib arah KWAP beri duit awal sebelum surat jaminan keluar

Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur diberitahu bahawa bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak telah mengarahkan supaya Kumpulan Wang Persaraan Diperbadankan (KWAP) mempercepatkan pengeluaran wang pinjaman kepada SRC International Sdn Bhd, lebih awal sebelum surat jaminan kerajaan dikeluarkan yang merupakan amalan luar biasa.

Bekas Ketua Setiausaha Perbendaharaan Kementerian Kewangan yang juga bekas Pengerusi KWAP Tan Sri Dr Wan Abdul Aziz Wan Abdullah, 67, berkata Najib mengarahkan demikian dalam satu panggilan telefon namun beliau tidak mengingati bila panggilan telefon itu dibuat.

Panggilan telefon itu merujuk kepada permohonan SRC untuk mendapatkan pinjaman RM3.95 bilion daripada KWAP pada tahun 2011.

Wan Abdul Aziz merupakan saksi pendakwaan ke-45 berkata demikian ketika pemeriksaan utama Timbalan Pendakwa Raya Datuk Suhaimi Ibrahim pada perbicaraan hari ke-35 kes Najib melibatkan dana SRC hari ini.

'Cop parking' boleh dipenjara

Perbuatan menanda tempat letak kenderaan awam atau lebih dikenali sebagai 'cop parking' menggunakan kerusi, kon, pasu bunga, berdiri atas petak dan sebagainya di atas petak meletakkan kenderaan boleh didenda atau penjara jika disabit kesalahan.

Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) memaklumkan, undang-undang berkenaan merupakan kesalahan di bawah Seksyen 50(3) Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang boleh diguna pakai di semua kawasan sama ada di tempat awam mahupun di premis swasta termasuk pusat beli-belah.

Menurut JPJ, jika berlaku kejadian ini, orang ramai boleh membuat aduan dengan menghantar mesej dengan butiran melalui emel ke aduantrafik@jpj.gov.my atau http://www.wasap.my/60134498997/AduanJPJ.

Malaysia Airlines akan kekal bawa nama Malaysia

Tun Dr Mahathir Mohamad menegaskan jenama Malaysia Airlines Berhad (Malaysia Airlines) akan tetap dikekalkan sebagai syarikat penerbangan membawa nama negara walau apa pun keputusan dibuat kerajaan dalam merealisasikan pelan pemulihan syarikat penerbangan negara itu.

Perdana Menteri berkata, kerajaan akan memastikan nama Malaysia Airlines tidak akan terhapus sama sekali jika syarikat itu diambil alih syarikat lain termasuk entiti syarikat asing.

Katanya, terdapat banyak cadangan diterima daripada syarikat bahkan kumpulan pengusaha tertentu tapi pada masa ini kerajaan belum dapat membuat keputusan sama ada menjual atau bekerjasama dengan syarikat lain atau ambil bahagian dalam pemulihan MAS.

UKM nafi beri arahan larang pensyarah tulis isu politik

Naib Canselor UKM, Prof Dr Mohd Hamdi Abdul Shukor menafikan pihaknya memberi arahan kepada pensyarah di universiti itu, Abdul Muein Abadi supaya tidak menulis isu politik selepas ditegur A Kadir Jasin kerana mengkritik kerajaan Pakatan Harapan (PH).

Terdahulu, Abdul Muein memberitahu beliau diarah tidak lagi menulis sebarang isu politik sensitif dan akur dengan arahan tersebut, walaupun terkilan kerana tidak lagi berpeluang menyumbang pandangan kritis kepada kerajaan PH.

Abdul Muein melalui artikel bertajuk “Eksklusif: 400 hari PH jual lebih RM20 bilion aset negara” mengkritik tindakan kerajaan PH menjual aset negara lebih RM20 bilion.

Sabah juara Liga Premier 2019

Sabah berjaya menamatkan penantian 23 tahun tanpa trofi apabila mengesahkan kejuaraan Liga Premier 2019 malam semalam.

Kejayaan itu hadir apabila skuad kendalian Jelius Ating menundukkan UiTM FC 2-1 di Stadium UiTM Shah Alam sekali gus mengesahkan julangan trofi yang kali terakhir dijulang mereka pada 1996.

Dalam aksi tersebut skuad Tambadau bagaimanapun terpaksa bermandi peluh selepas ketinggalan 0-1 di babak pertama.

Bagaimanapun, bangkit di babak kedua, Sabah berjaya mengikat kedudukan 1-1 pada minit ke-57 selepas pengadil menghadiahkan penalti apabila bola terkena tangan pertahanan UiTM FC.

Keputusan 2-1 kekal sehingga wisel penamat dibunyikan dan Sabah yang kini mengumpul 40 mata tidak dapat dicabar mana-mana pasukan dengan hanya berbaki dua perlawanan sahaja lagi.


Bermula dengan hanya RM5 anda telah menyokong Berita Fakta dan Komprehensif kami, sokong berita kami.
Terima Kasih Rakyat Malaysia