TNB bantu 60 keluarga asnaf miliki kediaman sendiri

Khalid bersama penerima PBJ Wilayah Persekutuan selepas majlis penyerahan yang berlangsung di Kompleks Sukan Pantai Eco Park hari ini.
A
A

KUALA LUMPUR - Tenaga Nasional Berhad (TNB) merealisasikan hasrat 60 asnaf untuk memiliki rumah kediaman sendiri melalui penyerahan bantuan Projek Baiti Jannati (PBJ) peringkat Wilayah Persekutuan.

Ketua Pegawai Korporat TNB, Datuk Wira Roslan Ab Rahman berkata, program yang melibatkan kerjasama Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) itu adalah sejajar dengan saranan kerajaan agar Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC) dapat bersama-sama membantu menyediakan kediaman buat golongan memerlukan.

Melalui penyerahan itu, Roslan berkata, penerima terlibat mendapat hak milik rumah dengan nilai keseluruhan berjumlah RM3.1 juta yang menggunakan peruntukan agihan semula wang zakat TNB.

"Program ini memberi fokus kepada kerja-kerja membaik pulih, membina baharu atau membiayai pembelian rumah golongan asnaf terpilih terdiri daripada ibu tunggal, warga emas, penduduk miskin bandar dan luar bandar," katanya selepas Majlis Penyerahan PBJ Wilayah Persekutuan 2019 yang berlangsung di Kompleks Sukan Pantai Eco Park di sini.

Majlis penyerahan disempurnakan Menteri Wilayah, Khalid Abdul Samad dengan diiringi Ahli Parlimen Lembah Pantai, Fahmi Fadzil.

Roslan berkata, di peringkat Wilayah Persekutuan, inisiatif PBJ TNB telah bermula sejak 2014 lagi malah sehingga tahun lalu, seramai 109 keluarga telah mendapat manfaat dengan nilai berjumlah lebih RM5.02 juta.

Selain itu, beliau turut berharap agar usaha ini sedikit sebanyak dapat memberi keselesaan buat keluarga asnaf terlibat untuk memiliki kehidupan yang lebih baik pada masa hadapan.

"Mereka tidak lagi perlu fikirkan soal bayaran rumah, malah kediaman yang mereka miliki ini juga telah pun dibaik pulih agar lebih selesa," katanya.

Dalam pada itu, Khalid berkata, kerajaan baharu sangat komited dalam membantu golongan B40, M40 dan penerima Projek Perumahan Rakyat (PPR) bagi menjaga kesejahteraan dan kebajikan pihak terlibat.

Katanya, hak milik rumah di bawah inisiatif PBJ ini akan dipindahkan kepada penerima terpilih dalam kalangan penyewa PPR atau Perumahan Awam (PA) DBKL sedia ada tanpa sebarang bayaran dengan syarat unit berkenaan tidak boleh dijual kepada pihak ketiga dan hanya boleh diwariskan kepada anak atau waris terdekat.

"Selain PBJ, pihak kementerian turut melaksanakan Program Kebajikan Wilayah Persekutuan secara holistik merangkumi semua peringkat usia bagi memastikan warga wilayah terus maju dan berdaya saing," katanya.