Kes KWAP: Najib beritahu naikkan kepada RM2 bilion

Najib - Foto BERNAMA
Najib - Foto BERNAMA
A
A
A

KUALA LUMPUR - Mahkamah Tinggi di sini diberitahu hari ini bahawa bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak memberitahu supaya pinjaman sebanyak RM1 bilion yang dipersetujui Kumpulan Wang Persaraan Diperbadankan (KWAP) kepada SRC International Sdn Bhd dinaikkan kepada RM2 bilion.

Saksi ke-45 pihak pendakwaan iaitu bekas Ketua Setiausaha Perbendaharaan Kementerian Kewangan Tan Sri Dr Wan Abdul Aziz Wan Abdullah, 67, berkata KWAP pada asalnya hanya bersetuju untuk menyediakan pinjaman sebanyak RM1 bilion kepada SRC namun Najib memaklumkan kepada beliau bahawa jumlah RM2 bilion adalah memadai.

“Pernah sekali ketika saya berjumpa Datuk Seri Najib di pejabat Perdana Menteri berkenaan tugasan rasmi Kementerian Kewangan, Datuk Seri Najib telah meminta saya supaya mempercepat proses kelulusan permohonan pinjaman SRC daripada KWAP.

“Beliau juga memberitahu saya bahawa pinjaman SRC pada jumlah RM2 bilion adalah memadai dan bukan pada jumlah RM1 bilion,” kata Wan Abdul Aziz sambil menambah perjumpaan itu hanyalah antara dia dan Najib, namun beliau tidak ingat tarikhnya.

Wanh Abdul Aziz berkata demikian ketika membacakan penyataan saksi pada hari ke-35 perbicaraan Najib berhubung penyelewengan dana SRC International berjumlah RM42 juta.

Terdahulu, saksi pendakwaan itu memberitahu bahawa jumlah pinjaman sebanyak RM3.95 bilion yang dipohon SRC pada 2011 amat besar dan mempunyai risiko “overconcentration”.

Oleh itu, Wan Abdul Aziz berkata KWAP bersetuju untuk menyediakan pinjaman berjumlah RM1 bilion sahaja.

“Selepas penilaian dibuat oleh pihak Jabatan Pendapatan Tetap, KWAP hanya bersetuju untuk menyediakan pinjaman sejumlah RM1 bilion, mengambil kira risiko “overconcentration” kerana jumlah pinjaman RM3.95 bilion adalah amat besar dan ditumpukan kepada satu syarikat dan satu industri sahaja,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata perkara tersebut telah dibentangkan melalui Kertas Panel Pelaburan untuk keputusan Panel Pelaburan KWAP berdasarkan penilaian dan surat permohonan yang dikemukakan SRC bertarikh 3 Jun 2011.

Wan Abdul Aziz berkata Kertas Panel Pelaburan itu adalah untuk Panel Pelaburan KWAP membuat keputusan sama ada untuk meluluskan atau tidak pinjaman RM1 bilion kepada SRC untuk tujuan modal pusingan dan pelaburan am.

“Mesyuarat Panel Pelaburan membuat keputusan untuk menangguhkan kelulusan Kertas Panel Pelaburan itu sehingga mendapatkan maklumat lanjut daripada pihak SRC,” katanya.

Beliau berkata dalam mesyuarat tersebut, salah seorang ahli panel pelaburan memberikan pendapat supaya Najib dimaklumkan mengenai keputusan KWAP yang hanya mencadangkan pinjaman pembiayaan berjumlah RM1 bilion sahaja kepada SRC.

Wan Abdul Aziz berkata beliau dan Datuk Azian Mohd Noh, yang merupakan Ketua Pegawai Eksekutif KWAP ketika itu, telah menemui Najib untuk memaklumkan keputusan Panel Pelaburan KWAP sebelum beliau sekali lagi bertemu Najib dan diberitahu bahawa jumlah RM2 bilion adalah memadai.

Saksi itu berkata sekiranya tidak ada “komunikasi daripada Najib berhubung jumlah pinjaman kepada SRC itu, pihak KWAP hanya akan meluluskan RM1 bilion.

Sementara itu, semasa pemeriksaan balas oleh peguam Farhan Read, saksi itu memberitahu bahawa pinjaman tersebut masih perlu melalui prosedur biasa meskipun ada surat dari bekas perdana menteri itu.

Kepada soalan sama ada Wan Abdul Aziz menganggap surat dari SRC International pada 2011 kepada Najib, yang mulanya memohon pinjaman RM3.95 bilion, sebagai arahan dari Najib, saksi itu berkata "tidak kira bagaimana atau bila permohonan dibuat, kita perlu melalui proses biasa. "

Saksi itu juga menegaskan bahawa dia tidak menyedari bahawa SRC telah memohon geran kerajaan.

Farhan: Sudah tentu bukan perkara biasa bagi kementerian atau anggota kerajaan untuk membincangkan isu pembiayaan dengan anda secara langsung?

Saksi itu menjawab "Ya."

Najib, 66, menghadapi tiga pertuduhan pecah amanah jenayah, satu pertuduhan salah guna kuasa dan tiga pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan dana SRC International berjumlah RM42 juta.

Perbicaraan di hadapan Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali bersambung. - Bernama