Jangan guna duit rakyat bantu MAS!

A
A

KATA orang, langkah ‘menyelamatkan’ Penerbangan Malaysia (MAS) macam mencurah air ke daun keladi. Tuanglah banyak manapun, habis begitu saja. Setakat ini dengarnya kerajaan melalui Khazanah dah curahkan RM6 bilion, tapi hasilnya tak nampak juga.

Berapa banyak lagi duit kerajaan nak curah pada MAS? Awang fikir ini masa yang baik untuk kerajaan buat keputusan muktamad. Buatlah yang terbaik untuk MAS asal jangan guna duit rakyat lagi.

Kita semua sayangkan MAS. MAS kebanggaan kita. Ia sistem penerbangan yang bawa nama negara. Lagipun perkhidmatannya baik. Layanan krewnya memuaskan.

Pendeknya kita tak banyak komplen pasal perkhidmatannya, memang kelas dunia.

Kita semua tahu bisnes penerbangan komersial memang ada masalah pada masa ini. Kos makin tinggi. Harga minyak tak menentu. Banyak syarikat penerbangan besar di dunia yang turut terjejas.

Malah tak lama dulu JAL, syarikat penerbangan Jepun, menghadapi masalah kewangan serius.

Syarikat itu terpaksa jual aset. Seingat Awang ada penyusunan semula besar-besaran untuk memulihkan JAL.

Kita dah buat macam-macam untuk kurangkan kerugian MAS. Banyak laluan antarabangsa dah dipotong. Cerita pasal penyusunan semula MAS dah banyak kita dengar. Tapi MAS rugi juga. Entah betul entah tidak, dengarnya MAS rugi RM100 juta sebulan atau RM1.2 bilion setahun pada masa ini.

Banyak perkara kena dilihat pasal MAS. Pada pendapat Awang, yang paling penting ialah MAS kena akui mereka beroperasi dalam dunia yang lain. Tak macam dulu.

Dulu MAS merupakan syarikat monopoli. Di Malaysia sekarang sudah ada AirAsia, Malindo dan lain-lain. AirAsia syarikat penerbangan tambang murah. Malindo baru masuk ke gelanggang. MAS pula ada tanggungjawab sosial di Sabah dan Sarawak. MAS wujudkan syarikat Firefly mungkin nak lawan AirAsia tapi rasanya Firefly tak capai hasrat MAS dari segi keuntungan.

Ada orang kata kos MAS tinggi sebab banyak kontraknya dah dibuat tanpa ambil kira kesan kepada syarikat itu.

Ada tangan-tangan dari atas yang pastikan kontrak tertentu dapat kepada syarikat tertentu dengan kos tertentu bagi jangka masa selagi ada bulan dan matahari. Macam mana MAS nak kurangkan kos?

Awang harap buatlah sesuatu pada MAS supaya betul-betul dapat dipulihkan.

Tengok-tengokkan biasiswa Khazanah

Kebetulan bercakap pasal Khazanah, Awang nak ucapkan tahniah kepada bos barunya, Tuk Shahril Ridza Ridzuan. Beliau ni orang kuat KWSP dulu. Baguslah Tuk Shahril pergi ke sana. Dah lama sangat Khazanah di tangan orang-orang tertentu.

Banyaklah kita dengar pelaburan yang pelik-pelik dibuat oleh Khazanah, badan pelaburan negara yang penting. Ini termasuklah pelaburan dalam syarikat yang menjual baju dalam wanita secara online.

Awang juga dengar Khazanah terbabit dalam bisnes buat studio produksi filem dan TV yang besar lagi hebat di Johor.

Khabarnya studio yang boleh buat filem bertaraf James Bond itu tak banyak digunakan. Tuk Shahril kena tengoklah semula pelaburan Khazanah, mana yang betul-betul strategik bagi negara, mana satu bisnes untuk dapat pulangan yang baik.

Pelaburan strategik ini termasuklah dalam MAS yang jelas menyebabkan kerugian berbilion ringgit.

Awang dah lama dengar khabar tentang ada benda tak betul dalam soal biasiswa yang diberikan oleh Khazanah. Khazanah ada beri biasiswa walaupun jumlah penerimanya tidak banyak.

Memang sepatutnya diberikan pada pelajar yang terbaik sahaja. Bolehlah pelajar ini nanti kembali bekerja dengan Khazanah. Tapi apa yang Awang dengar, biasiswa ini jadi biasiswa eksklusif dan elit.

Selain diberikan kepada anak-anak cemerlang, banyak juga yang ‘dikhaskan’ untuk anak-anak rakan dan kenalan rapat bos-bos besar di Khazanah.

Awang dah lama dengar hal ini. Tuk Shahril kenalah buka fail dan tengok senarai anak siapa yang diberikan biasiswa ini.

Awang rasa elok juga Khazanah keluarkan senarai siapakah penerima biasiswa Khazanah selama ini. Kita kan dalam kerajaan baharu. Perlu ada ketelusan.

Awang faham keadaan hari ini. PTPTN bukan dalam keadaan kewangan yang sihat. Banyak orang yang diberikan pinjaman tak membayar balik.

Oleh sebab itu duit pusingan terjejas. Perdana Menteri sendiri pernah kata duit pinjaman PTPTN lebih besar daripada skandal 1MDB. Tapi tak apalah. Duit tu untuk pelajaran anak-anak kita. Banyak manapun baik untuk negara.

Tapi yang meminjam tu kenalah membayar. Ada yang dah gaji besar dan berkedudukan tinggi pun liat nak bayar. Makin parahlah PTPTN. Biasiswa lain macam JPA pun dah berkurang, jadi harapan rakyat adalah kepada pinjaman PTPTN.

Bagi yang terbaik tentulah berharap kepada biasiswa daripada badan macam Petronas dan Khazanah. Tapi kalau pemberiannya tak telus, yang rugi rakyat juga.


PENAFIAN:
SINAR HARIAN tidak bertanggungjawab terhadap pendapat yang diutarakan melalui artikel ini. Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian SINAR HARIAN. Terima kasih.