Ku Nan terlibat jual tanah kepada Aset Kayamas

No Image Caption
A
A
A

KUALA LUMPUR - Mahkamah Tinggi hari ini diberitahu bekas Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor terlibat dalam penjualan dua lot tanah di Bandar Tun Razak milik Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) kepada Syarikat Aset Kayamas Sdn Bhd.

Bekas Pengarah Penilaian di Jabatan Penilaian dan Pengurusan Harta (JPPH) DBKL, Kamariah Ibrahim, 62, berkata demikian ketika menjawab soalan Timbalan Pendakwa Raya Haderiah Siri pada hari kelima perbicaraan kes rasuah RM2 juta yang dihadapi Tengku Adnan.

"Saya tidak menafikan memang ada penglibatan menteri (Tengku Adnan) dalam isu penjualan tanah membabitkan Aset Kayamas,” kata saksi itu.

Haderiah: Apakah penglibatan Tengku Adnan dalam penjualan tanah kepada Aset Kayamas?

Kamariah: Pada peringkat awal, terdapat surat-surat daripada pihak pemaju, Aset Kayamas yang dihantar ke JPPH dan terdapat catatan oleh Tengku Adnan yang menyatakan "sila setuju" dan "sila uruskan".

"Pada peringkat akhir, menteri akan memberi kata putus bersetuju untuk penjualan tanah berkenaan kerana ia mematuhi syarat perundangan dengan niat untuk memperbanyakkan pembangunan rumah mampu milik," katanya.

Sementara itu, Kamariah ketika membacakan penyataan saksinya berkata surat tawaran berhubung penjualan dua lot tanah di Bandar Tun Razak milik DBKL dikeluarkan kepada Aset Kayamas selepas mendapat persetujuan daripada Tengku Adnan.

Saksi pendakwaan ke-14 itu berkata beliau mengarahkan pegawainya, Razailia Khalid mengeluarkan surat tawaran berkenaan selepas Tengku Adnan, yang ketika itu Menteri Wilayah Persekutuan, menandatangani perakuan di bawah Seksyen 101(r) Akta Kerajaan Tempatan 1976 (Akta 171) pada 28 Mei 2015.

Artikel Berkaitan:

"Saya mengesahkan perakuan berkenaan telah dikeluarkan oleh DBKL kepada Tengku Adnan yang ditandatanganinya bagi melupuskan harta tak alih milik DBKL iaitu Lot 53427 dan Lot 53653 di Bandar Tun Razak, Kuala Lumpur kepada syarikat Aset Kayamas.

"Setelah mendapat persetujuan daripada Tengku Adnan, saya telah mengarahkan Razailia mengeluarkan surat tawaran kepada syarikat berkenaan," katanya.

Kamariah, yang berkhidmat di DBKL sejak 1980, turut mengesahkan bahawa Tengku Adnan juga bersetuju dengan pembinaan satu blok pangsapuri mampu milik (427 unit) 41 tingkat termasuk lapan tingkat podium tempat letak kereta berserta kemudahan penduduk dalam fasa pertama pembinaan.

"Dalam fasa kedua, pihak syarikat bercadang membina satu blok pangsapuri 623 unit 41 tingkat termasuk lapan tingkat podium tempat letak kereta berserta kemudahan penduduk dan fasa ketiga, pihak syarikat akan membina asrama pusat latihan untuk DBKL," katanya yang turut mengesahkan penjualan tanah berkenaan kepada syarikat Aset Kayamas atas arahan Tengku Adnan.

Kamariah, kini pesara berkata pihak DBKL tiada halangan untuk menjual tanah berkenaan dengan syarat syarikat tersebut membina satu blok asrama bersebelahan Institut Latihan DBKL berkeluasan 0.5 ekar (0.2 hektar) dan pembinaan asrama itu berdasarkan spesifikasi yang ditetapkan oleh DBKL.

"Pihak syarikat dikehendaki mematuhi terma jualan dan kaedah pembayaran antaranya syarikat diminta membayar wang kesungguhan berjumlah RM200,000 dalam tempoh 14 hari dari tarikh surat tawaran berkenaan," jelasnya.

Mengikut pertuduhan, Tengku Adnan sebagai seorang penjawat awam iaitu Menteri Wilayah Persekutuan didakwa telah menerima untuk dirinya wang berjumlah RM2 juta daripada ahli perniagaan, Tan Sri Chai Kin Kong melalui cek Hong Leong Islamic Bank milik syarikat Aset Kayamas yang didepositkan ke dalam akaun CIMB Bank milik Tadmansori Holding yang beliau mempunyai kepentingan, yang diketahui syarikat Aset Kayamas ada perhubungan dengan kerja-kerja rasminya.

Beliau dituduh melakukan perbuatan itu di CIMB Bank Berhad, Cawangan Pusat Bandar Damansara, di sini pada 14 Jun 2016, mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan, yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Perbicaraan di hadapan Hakim Mohamed Zaini Mazlan bersambung petang ini. - Bernama