Juruwang bank tak mengaku pecah amanah wang ASB RM2 juta

Tertuduh, Diyana Remle, 30, tidak mengaku salah atas dua pertuduhan pecah amanah melibatkan hampir RM2 juta di Mahkamah Sesyen Kuala Terengganu, hari ini.
A
A

KUALA TERENGGANU- Seorang juruwang sebuah bank di Dungun dihadapkan di Mahkamah Sesyen Kuala Terengganu hari atas dua pertuduhan pecah amanah bernilai hampir RM2 juta.

Tertuduh, Diyana Remle, 30, dari Balai Besar, Dungun yang kini mengandung enam bulan bagaimanapun mengaku tidak bersalah dan mohon dibicarakan bagi kedua-dua pertuduhan di bawah Seksyen 408 Kanun Keseksaan.

Mengikut pertuduhan pertama, dia didakwa menyalahgunakan wang Amanah Saham Bumiputera (ASB) pelanggan sebanyak RM430,000 yang diamanahkan kepadanya mengendalikan wang berkenaan selaku juruwang di RHB Bank cawangan Dungun.

Tertuduh didakwa melakukan perbuatan itu pada 14 Disember 2017 sehingga 12 Disember 2018 di RHB Bank cawangan Dungun.

Bagi pertuduhan kedua, tertuduh didakwa mengulangi perbuatan sama dengan menyalahgunakan wang ASB pelanggan berjumlah RM1,580,000, pada 19 Disember 2018 sehingga 26 Mac lalu, di bank sama.

Tertuduh berdepan hukuman penjara tidak kurang setahun dan tidak lebih 14 tahun dan sebatan dan boleh juga dikenakan denda, jika disabitkan kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nur Zafirah Rosli di hadapan Hakim Azman Mustapha manakala tertuduh Peguam bela Shahidah Muslimah Roslan dari tetuan Hidayah Muslimah & Co Advocates & Solicitors.

Sejurus pengakuan tidak salah tertuduh yang kini mengandung enam bulan direkodkan, mahkamah menetapkan 23 Julai depan sebagai tarikh sebutan semula untuk serahan dokumen.

Mahkamah turut membenarkan tertuduh diikat jamin RM20,000 bagi kedua-dua pertuduhan dengan seorang penjamin.