Terpaksa tanggung malu serah gambar, video berahi

Micheal Chong (kanan) bersama mangsa pada sidang media di Wisma MCA di sini hari ini.
Micheal Chong (kanan) bersama mangsa pada sidang media di Wisma MCA di sini hari ini.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Maruah seorang jurujual wanita tergadai selepas diperdaya dengan kenalan WeChat yang kononnya menawarkan wang bagi setiap kepingan gambar dan video berahi hingga boleh menjadikannya seorang 'super model'.

Dalam kejadian Jumaat lalu, mangsa berusia 23 tahun itu berkenalan di aplikasi WeChat dengan individu dikenali sebagai 'Ting'.

Pada awalnya, suspek terbabit menawarkan untuk mangsa ini mengambil gambar kakinya dengan tawaran sejumlah wang.

Menurut mangsa yang hanya mahu dikenali sebagai Angeline, suspek mendakwa gambar yang diambil hanya akan dimuat naik laman web di negara China sahaja.

"Ting (suspek) menawarkan RM35 untuk sekeping gambar kaki, manakala untuk gambar punggung akan dibayar RM80. Ting juga menunjukkan beberapa keping gambar contoh sebagai rujukan.

"Selain itu, saya juga ditawarkan untuk mengambil beberapa gambar dan video bogel dengan tawaran wang RM500 (sekeping gambar) dan RM1,000 bagi satu video.

"Akhirnya saya telah menghantar sebanyak 20 keping gambar beserta lima video klip pada hari yang sama selepas dijanjikan bayaran keseluruhan sebanyak RM15,000," katanya kepada pemberita di Wisma MCA di sini hari ini.

Angeline berkata, impian untuk menerima bayaran RM15,000 musnah apabila dia sebaliknya diugut, gambar dan video berahinya akan didedahkan kepada keluarga, media sosial dan rakan mangsa.

Artikel Berkaitan:

Katanya, bukan itu sahaja, dia turut diarahkan untuk memasukkan wang sebanyak RM800 selain menerima pesanan mesej ugutan di Facebook daripada dua individu bernama Shan Shan Gua dan Kelvin.

Sementara itu, Ketua Biro Pengaduan dan Perkhidmatan Awam MCA, Datuk Seri Michael Chong berkata, dia akan membantu mangsa ini untuk membuat laporan polis.

"Modus operandi ini adalah biasa diterima oleh mangsa-mangsa kononnya meminta gambar sebelum mengugut bagi mendapatkan wang. Saya ingatkan mana-mana mangsa untuk tidak menyerahkan wang kerana itu adalah satu penipuan.

"Walaupun wang sudah diberikan, namun percayalah suspek ini akan terus mengugut hingga ada kes yang berlaku menyebabkan mangsa meminjam ah long atau dijadikan sebagai pelacur," katanya.

Tegasnya, ini adalah 'scammer' dan beliau yakin dengan laporan yang dibuat, polis akan bertindak dengan baik bagi mengesan penjenayah terbabit.