4 ‘kaki lalok’ terlibat kes ragut ditahan

Barangan yang ditemui semula selepas polis menahan empat lelaki di Sri Hartamas dan Batu 9 Cheras.
Barangan yang ditemui semula selepas polis menahan empat lelaki di Sri Hartamas dan Batu 9 Cheras.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Polis menahan empat ‘kaki lalok’ yang disyaki terlibat dengan beberapa kejadian ragut di sekitar Lembah Klang.

Ketua Polis Daerah Brickfields, Asisten Komisioner Ruslan Khalid berkata, kumpulan ini dipercayai menjadikan bilik hotel sebagai ‘markas’ sebelum melakukan jenayah ragut.

Menurutnya, pihaknya menyerbu sebuah hotel di Sri Hartamas selepas menerima maklumat dan melakukan risikan Isnin lalu.

Katanya, Sabtu lalu seorang wanita berusia 25 tahun membuat laporan beg silang miliknya diragut dua lelaki ketika mangsa menunggu Grab berdekatan sebuah kedai tayar di Desa Sri Hartamas pada jam 11.51 pagi.

“Mangsa tidak cedera namun alami kerugian apabila wang tunai sebanyak RM300, mata wang asing bernilai AS$50 dan beberapa dokumen penting dilarikan suspek yang menaiki motosikal.

“Bertindak atas laporan mangsa, sepasukan anggota polis dari Balai Polis Sri Hartamas serbu bilik hotel terbabit dan tahan dua lelaki berusia lingkungan 20-an,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata, hasil penahanan suspek, polis menemui semula barang kepunyaan mangsa serta pelbagai barangan dipercayai milik mangsa lain.

Antara yang ditemui termasuk sebuah motosikal Yamaha Y150, lima telefon bimbit pelbagai jenama, kad akses pejabat, kad bank, kad kredit, alat penyembur pemedih mata, penutup muka serta beberapa barang lain bukan milik suspek.

Artikel Berkaitan:

“Ketika ditahan, kedua-dua suspek khayal dan di bawah pengaruh dadah. Mereka bersama dua lagi rakan jenayah bermalam di bilik hotel (disewa dengan harga RM200 semalam) selama dua malam sebelum ditangkap.

“Polis percaya hotel ini dijadikan tempat berkumpul sebelum kumpulan ini melakukan jenayah ragut,” katanya.

Ruslan berkata, hasil siasatan lanjut, polis menahan dua lagi rakan suspek berusia lingkungan 20-an di sebuah rumah di Batu 9 Cheras.

Katanya, ujian saringan air kencing mendapati keempat-empat suspek positif dadah jenis methamphetamine.

“Kesemua mereka yang mempunyai rekod jenayah lampu berkaitan kes dadah dan jenayah direman sehingga Jumaat ini bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 395 Kanun Keseksaan.

“Selain kes di Brickfields, suspek dipercayai terlibat dengan empat kes lain termasuk di Sentul, Cheras dan Damansara,” katanya.

Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kes tersebut boleh menghubungi Bilik Gerakan IPD Brickfields di talian 0322979222.