16 daripada 69 PIP di bawah BEV2015 telah dilaksanakan

Menteri Hal Ehwal Ekonomi Datuk Seri Mohamed Azmin Ali - Foto BERNAMA
Menteri Hal Ehwal Ekonomi Datuk Seri Mohamed Azmin Ali - Foto BERNAMA
A
A
A

KUALA LUMPUR - Enam belas daripada 69 Projek Infrastruktur Utama (PIP) di bawah BIMP-EAGA Vision 2025 (BEV2025), dengan anggaran kos keseluruhan sebanyak AS$22.7 bilion, siap dilaksanakan setakat ini dengan bakinya dalam pelbagai peringkat pelaksanaan.

Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata, BEV2025 telah menetapkan sasaran sebuah wilayah yang berdaya saing dan mampan melalui pelbagai strategi dengan tumpuan kepada pembangunan sektor pertanian dan perikanan, penggunaan teknologi hijau dalam sektor pembuatan dan pembangunan sektor pelancongan.

BEV2025 merupakan kerjasama serantau Kawasan Pertumbuhan ASEAN Timur Brunei Darussalam-Indonesia-Malaysia-Filipina (BIMP-EAGA).

”Seperti yang ditekankan oleh Perdana Menteri (Tun Dr Mahathir Mohamad) pada sidang kemuncak ASEAN ke-34 di Bangkok lepas, sudah tiba masanya untuk negara ASEAN mengambil inisiatif khusus dalam meningkatkan dagangan antara negara di rantau ini.

“Untuk itu, usaha khusus perlu dilaksanakan bagi mengukuhkan hubungan dagangan antara 10 negara ASEAN. Perdana Menteri turut menggesa semua negara ahli untuk menggalakkan kesalinghubungan dalam segala aspek, daripada infrastuktur digital, peraturan, sehinggalah kepada hubungan rakyat dalam mewujudkan ASEAN yang sempurna,” katanya ketika menjawab soalan lisan Awang Hashim (Pas-Pendang) pasa sesi Dewan Rakyat di sini hari ini.

Ini katanya, akan membuka ruang kepada setiap negara untuk menggunakan kelebihan saingan masing-masing bagi meningkatkan perdagangan rentas sempadan.

Mohamed Azmin yang menjawab soalan mengenai kesan risiko ketidaktentuan persekitaran global khususnya antara Amerika Syarikat dan China, ke atas ekonomi Malaysia.

Beliau berkata, perang dagangan antara Amerika Syarikat dan China telah membuka ruang kepada Malaysia untuk meningkatkan eksport komoditi ke China, terutama minyak sawit yang merupakan barangan pengganti kepada minyak soya dan jagung.

Artikel Berkaitan:

“Pada Mac 2019, syarikat Malaysia menandatangani perjanjian bernilai hampir US$900 juta bagi membekal 1.62 juta tan minyak sawit ke China. Dalam tempoh Januari hingga April 2019, eksport minyak sawit Malaysia ke China telah meningkat hampir 255,000 tan bernilai RM1.4 bilion,” katanya.

Sementara itu, Mohamed Azmin berkata, menerusi kerjasama Kawasan Pertumbuhan Indonesia Malaysia Thailand (IMT-GT), 41 Projek Kesalinghubungan Fizikal (PCP) telah disenaraikan dengan anggaran kos sebanyak AS$47 bilion di mana lima projek telah siap dilaksanakan dengan bakinya di pelbagai peringkat pelaksanaan.

"Kedua dua inisiatif PIP dan PCP ini akan meningkatkan kesalinghubungan dan menjadi pemangkin kepada aktiviti perdagangan serta mobiliti penduduk bagi manfaat ekonomi untuk rakyat dan negara serantau.

“Kerajaan yakin usaha-usaha ini berupaya memastikan Malaysia kekal di landasan pertumbuhan ekonomi yang positif ke arah mencapai sasaran sebagai sebuah negara maju, inklusif dan berdaya tahan,” katanya. - Bernama