KBS tetap pendirian ubah had umur belia

Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman ketika bercakap pada sidang Dewan Rakyat di Parlimen hari ini. - FOTO SHARIFUDIN ABDUL RAHIM
Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman ketika bercakap pada sidang Dewan Rakyat di Parlimen hari ini. - FOTO SHARIFUDIN ABDUL RAHIM
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kementerian Belia dan Sukan (KBS) konsisten dan berpendirian tegas dalam memperkasakan suara anak muda, antaranya dengan mengubah had umur belia daripada 40 tahun kepada 30 tahun.

Menterinya, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berkata, janji kerajaan untuk mereformasikan perkara itu tetap akan ditunaikan biarpun terdapat halangan daripada beberapa pihak.

“Registrar of Youth (ROY) (Pejabat Pendaftar Pertubuhan Belia) jelas di bawah KBS. Kita akan berpendirian tegas. Bila kita janjikan reform kita akan lakukan walau apa pun rintangan terletak di hadapan kita,” katanya ketika ditemui media di lobi Parlimen di sini hari ini.

ARTIKEL BERKAITAN: Johor kembali kekalkan had umur belia kepada 40 tahun

Syed Saddiq berkata demikian bagi mengulas keputusan kerajaan Johor semalam yang mengekalkan had umur belia negeri kepada 40 tahun, sehinggalah pindaan mengenai Rang Undang-Undang (RUU) Akta Pertubuhan Belia dan Pembangunan Belia 2007 (Akta 688) diwartakan pada 2021.

Sebelum ini, Johor mengubah pendirian dengan menerima pindaan had umur belia tersebut, sehari selepas kenyataan Menteri Besar Johor, Datuk Dr Sahruddin Jamal untuk mengekalkan had umur 15 hingga 40 tahun bagi memastikan pelan perancangan yang telah dirangka.

Dalam pada itu, Ahli Parlimen Muar itu berkata, isu tersebut (keputusan Johor) akan dibangkitkan dalam mesyuarat Kabinet bagi perbincangan lanjut.

Katanya, semasa perjumpaan beliau dengan semua Exco Belia dan Sukan negeri (yang mewakili kerajaan negeri) sebelum ini juga lancar tanpa sebarang tentangan.

Artikel Berkaitan:

“Ia (perkara pindaan) juga dimasukkan ke dalam mesyuarat jawatankuasa khas Kabinet anak muda yang dipengerusikan Perdana Menteri dan dihadiri oleh semua Exco sukan. Tiada tentangan dan semua dipersetujui. Minit mesyuarat pun ada,” katanya.