Rakyat tak mahu cerita politik, tunggu kerajaan tunai janji

 Nurainie Haziqah Shafii
Nurainie Haziqah Shafii
A
A
A
SHAH ALAM - Pemimpin dan menteri dari PKR diingatkan melaksanakan apa yang telah dijanjikan kepada rakyat sebelum PRU14.

Perwakilan Selangor, Nurainie Haziqah Shafii berkata, rakyat hari ini tidak lagi mahu mendengar cerita politik sebaliknya menunggu janji yang sedang dibuat dan telah dilaksanakan.

Menurutnya, PKR perlu tahu rakyat adalah hakim kepada kerajaan dan sebarang perubahan boleh berlaku dalam PRU akan datang.

"Rakyat tak mahu lagi dengar cerita politik mengenai berapa harga rambut, kisah kebobrokan Datuk Seri Najib Tun Razak (bekas Perdana Menteri). Rakyat nak tengok perubahan.

"Rakyat nak lihat selepas enam bulan menjadi kerajaan, sama ada pemimpin sedar atau masih asyik sendiri tanpa berusaha memenuhi manifesto. Rakyat tak buta, rakyat sama seperti kita cakap sebelum ini iaitu hakim kepada kerajaan," katanya ketika membahaskan ucapan dasar presiden pada Kongres Nasional Keadilan Ke-13, hari ini.

Menurutnya sebagai sebuah parti terbesar memenangi kerusi dalam PH, parti perlu berterus terang dan memberikan fakta betul kepada rakyat.

"Usaha ke arah kejayaan PKR tidak boleh terhenti walaupun kita telah menang. Ia adalah permulaan kepada kita semua.

"Justeru, dalam mendepani PRU15, ia tidak boleh bermula setahun sebelum pilihan raya tetapi ia perlu berlaku sekarang," katanya.

Tambahnya, PKR adalah parti yang memartabatkan wanita di mana terdapat klausa dalam perlembagaan meletakkan sasaran 30 peratus dalam kepimpinan.
Artikel Berkaitan:


"Saya ingin ucapkan terima kasih kepada kepimpinan parti kerana berjuan untuk perkara ini," katanya.