Pekerja ladang didakwa bunuh warga asing

Nalan (kanan) dibawa ke mahkamah sambil diiringi Peguam tertuduh, N Nagaratnam.
Nalan (kanan) dibawa ke mahkamah sambil diiringi Peguam tertuduh, N Nagaratnam.
A
A
A

SUNGAI PETANI - Seorang pekerja ladang kelapa sawit dihadapkan ke Mahkamah Majistret hari ini atas tuduhan membunuh rakan sekerja yang merupakan warga Indonesia, bulan lalu.

Tertuduh, M Nalan, 31, mengangguk faham sebaik pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Majistret Arif Mohamad Shariff.

Bagaimanapun tiada sebarang pengakuan direkodkan daripada tertuduh.

Mengikut pertuduhan, dia didakwa membunuh Silmus Ati Bere, 34, di sebuah rumah tidak bernombor di Kampung Sungai Tukang antara jam 6 petang hingga 7.30 malam, 26 Jun lalu.

Akibat perbuatan itu, tertuduh telah melakukan kesalahan yang boleh dihukum mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh yang memperuntukkan hukuman mati jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, S Pavitra dan tertuduh diwakili peguam, N Nagaratnam.

Mahkamah menetapkan 18 Ogos depan untuk sebutan semula kes bagi mendapatkan laporan kimia dan bedah siasat mangsa.

Terdahulu, pada 27 Jun lalu, Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Adzli Abu Shah berkata, mangsa kemungkinan dipukul di satu lokasi lain sebelum mayatnya ditinggalkan di tepi jalan dekat Jalan Bukit Selambau-Jeniang dan ditemui kira-kira jam 6.30 pagi.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, mangsa ditemukan dengan kesan kecederaan di dahi kanan dipercayai akibat dipukul dengan objek tumpul selain bahagian tengkorak pecah.

"Terdapat satu tusukan di bahagian bawah mata kiri mangsa selain kecederaan di bahagian tangan kiri akibat tusukan berkemungkinan menggunakan sejenis objek," katanya.