Pemuda UMNO dakwa ada muslihat di sebalik pelawaan Tun M

Norhiesam Ismail
A
A

GEORGETOWN - Pelawaan Pengerusi Bersatu, Tun Dr Mahathir Mohamad agar semua parti Melayu menyertai Bersatu dilihat seperti ada muslihat tertentu.

Ketua Pemuda UMNO Nibong Tebal, Norhiesam Ismail berkata, langkah itu diambil Dr Mahathir selepas melihatkan tindakan DAP yang kini mengatur kerajaan.

"Itu antara sebab mengapa Dr Mahathir membuat pelawaan tersebut.

"Selain itu, ia juga menggambarkan tindakan terdesak daripada parti berkenaan," katanya kepada Sinar Harian.

Katanya, Dr Mahathir seolah-olah berada dalam keadaan terdesak, kerana itu mulalah bermain dengan sentimen kuasa orang Melayu yang semakin meruncing.

"Bagaimanapun, kita tidak memandang remeh pelawaan tersebut kerana senario politik orang Melayu ketika ini agak rencam dengan perpecahan ideologi," katanya.

Katanya lagi, Dr Mahathir seharusnya perlu bertanggungjawab dengan perpecahan orang Melayu pada masa ini yang dilihat lebih kepada kepentingan dirinya sendiri.

"Sejarah tidak pernah menipu apa yang pernah beliau lakukan terhadap politik orang Melayu demi kepentingan dirinya.

"Politik Melayu berpecah adalah kerana Dr Mahathir sendiri. Bermula dengan persengketaan beliau dengan Tengku Razaleigh Hamzah sehingga tertubuhnya Parti Melayu Semangat 46.

"Selepas itu, pada 1998, beliau berselisih faham pula dengan Datuk Seri Anwar Ibrahim sehingga Anwar dipecat. Anwar menubuhkan PKR. Rentetan itu, PRU 1999 menyaksikan sokongan orang Melayu kepada UMNO/BN merosot teruk akibat perpecahan ini," katanya.

Tambah Norhiesam, terbaharu, Dr Mahathir begitu bersungguh-sungguh ingin menghancurkan Datuk Seri Najib Razak pada PRU 14 dan menubuhkan Bersatu.

"Parti ini berteraskan politik Melayu dan sanggup bersekongkol dengan DAP yang jelas mengamalkan rasis terhadap orang Melayu.

"Sekiranya benar Dr Mahathir bimbang dengan senario politik Melayu, Bersatu sepatutnya kembali ke pangkuan UMNO untuk memperjuangkan nasib orang Melayu di negara ini.

"Jika kita lihat, sehingga hari ini, Bersatu gagal memperjuangkan nasib orang Melayu dan jelas DAP yang mencorak kerajaan hari ini walaupun Dr Mahathir dilantik menjadi Perdana Menteri," katanya lagi.

Tambahnya, tidak mungkin sebuah parti besar seperti UMNO yang mempunyai lebih tiga juta ahli dibubarkan dan menyertai Bersatu yang ahli hanya ada ratusan ribu sahaja.

"Logiknya yang kecillah akan bersama yang besar, demi survival politik Melayu," katanya.

Jelasnya, Pemuda UMNO Nibong Tebal melihat kerjasama UMNO dan Pas sebagai usaha penyatuan orang Melayu terbesar dan bakal merubah landskap politik Melayu negara.

"Saya amat yakin pengukuhan kedua-dua parti Melayu terbesar ini adalah lebih tepat daripada menerima pelawaan yang dibuat Dr Mahathir.

"Jelas rakyat menerima kerjasama UMNO dan Pas sebagai usaha penyatuan orang Melayu.

"UMNO akan terus istiqomah bersama Pas, mengukuhkan gerak kerja bersama parti komponen BN yang lain dan sedia bekerjasama dengan mana-mana parti demi kepentingan Melayu dan Islam. UMNO sama sekali tidak akan dibubarkan atau dikuburkan," katanya.