Larangan merokok: Orang ramai bantu lapor KKM

Boon Chye bertemu dengan tetamu yang hadir pada majlis tersebut.
A
A

IPOH - Kementerian Kesihatan (KKM) minta kerjasama orang ramai dalam usaha menguatkuasakan peraturan larangan merokok di dalam restoran terbuka mulai 1 Januari depan.

Timbalan Menterinya, Dr Lee Boon Chye berkata, dalam tempoh enam bulan bermula Januari, penguatkuasaan lebih tertumpu ke arah mendidik masyarakat mengenai peraturan tersebut.

Menurutnya, rondaan berkala akan dilakukan di semua tempat atau premis berkaitan.

"Dalam tempoh enam bulan itu, kita mahu mereka sama ada pengusaha restoran atau perokok sedar bahawa peraturan itu telah dilaksanakan dan dikuat kuasa supaya mereka patuh kepada peraturan itu.

"Orang ramai boleh terus telefon kepada hotline kementerian untuk buat aduan sekiranya ada ketidakpatuhan terhadap peraturan ini," katanya kepada pemberita, hari ini.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas hadir Majlis Makan Tengah hari bersama Majlis Lembaga Pengurusan Sekolah-Sekolah Cina Perak di sebuah restoran, di sini.

Boon Chye menegaskan peraturan mempeluaskan kawasan larangan merokok itu bertujuan mengurangkan jumlah perokok dan melindungi hak mereka yang tidak merokok supaya tidak terdedah kepada asap rokok demi menjaga kesihatan.

"Kerana kita tahu rokok bukan sahaja menjejaskan kesihatan mereka yang merokok tetapi juga menjejaskan kesihatan mereka yang tidak merokok disebabkan terdedah kepada asap rokok.

"Yang paling penting kita harap orang awam dapat bantu kita untuk kuatkuasakan peraturan ini," katanya.

Sementara itu, mengenai cili yang mengandungi racun, beliau berkata, setakat ini tiada mangsa dilaporkan mengadu atau mengalami simptom-simptom berkaitan keracunan

Menurutnya, pihak kementerian sudahpun mengambil tindakan ke atas pembekal cili tersebut manakala saringan di pintu masuk untuk import cili itu diperketatkan lagi.


Bermula dengan hanya RM5 anda telah menyokong Berita Fakta dan Komprehensif kami, sokong berita kami.
Terima Kasih Rakyat Malaysia