Peniaga rugi RM36,700 ditipu 'runner'

Mohd Wazir Mohd Yusof
Mohd Wazir Mohd Yusof
A
A
A

KUANTAN - Seorang peniaga rugi lebih RM36,000 akibat ditipu ‘runner’ yang dilantik untuk menguruskan permohonan lesen perniagaan dan bayaran saman pihak berkuasa tempatan (PBT) di sini, Februari lalu.

Mangsa berusia 27 tahun mendapati lelaki tersebut tidak menjalankan tugas seperti diamanahkan, malah bertindak menghilangkan diri selepas menerima bayaran.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial negeri, Superintendan Mohd Wazir Mohd Yusof berkata, mangsa yang berhasrat mendirikan kedai makan di Jalan Teluk Sisek, di sini menggunakan khidmat lelaki itu untuk berurusan dengan pihak PBT bagi mendapatkan kelulusan perancangan pembangunan serta lesen perniagaan untuk kedai makan tersebut.

Bagi urusan itu katanya, mangsa membuat bayaran RM36,700 kepada lelaki tersebut secara berperingkat dalam tempoh 20 hingga 27 Februari lalu.

“Bayaran dibuat termasuk RM15,000 untuk proses perancangan dan pembangunan kedai, RM4,000 untuk lesen perniagaan, RM2,700 untuk proses rekebentuk pelan dan RM15,000 lagi untuk deposit.

"Mangsa mendakwa suspek datang ke lokasi kedainya bersama seorang lelaki yang dikatakan sebagai pegawai dari PBT berkenaan untuk pemeriksaan dan beberapa hari kemudian mangsa dimaklumkan permohonannya dalam proses semakan, namun kemungkinan lesen perniagaan tidak dapat diluluskan,” katanya.

Beliau berkata, suspek bagaimanapun mengakui dia dapat membantu untuk kelulusan lesen tersebut dengan bayaran RM4,000 dan mangsa membayarnya.

“Suspek juga memberi helah kononnya proses penyediaan pelan kedai berdepan masalah dan mangsa perlu membayar RM2,700 untuk menyelesaikannya.

Artikel Berkaitan:

“Mangsa mula curiga dan tidak berpuas hati apabila suspek meminta dia menjelaskan saman RM7,100 sekiranya mahu menuntut wang pendahuluan,” katanya.

Mohd Wazir berkata, mangsa cuba menghubungi suspek bagi mendapatkan penjelasan berhubung saman tersebut, namun lelaki terbabit gagal dihubungi.

“Setelah mengesyaki dirinya ditipu, mangsa membuat laporan polis semalam dan siasatan dijalankan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan,” katanya.