Golongan profesional dipelawa sertai APM Melaka sebagai pegawai bersekutu

No Image Caption
A
A
A

MELAKA - Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Melaka mempelawa golongan profesional untuk menyertai pasukan tersebut sebagai pegawai bersekutu bagi memantapkan lagi mutu perkhidmatannya.

Pengarah APM Melaka, Lt Kol (PA) Effendy Ali berkata ahli akademik, ahli perubatan, ahli koporat, ahli politik dan pegawai kerajaan yang berminat boleh terus datang ke pejabat APM Melaka untuk mendaftarkan diri.

“Sejak dahulu lagi, APM sentiasa mengalu-alukan penglibatan golongan profesional untuk bersama-sama kita sebagai pegawai bersekutu dan sambutan yang diterima di negeri ini amat menggalakan.

“Kita berharap lebih ramai lagi golongan ini menyertai APM khususnya mereka yang mempunyai kemahiran dalam bidang perubatan untuk memberi khidmat kepada masyarakat ketika ditimpa kecemasan, kemalangan atau bencana,” katanya kepada Bernama baru-baru ini.

Beliau berkata mereka yang berdaftar akan diberi kursus latihan asas oleh jurulatih APM sebelum dibenarkan menyertai mana-mana operasi APM.

Effendy berkata pihaknya turut mengalu-alukan penyertaan daripada golongan belia yang berminat dengan aktiviti lasak.

“Kita mendapat maklum balas positif daripada ibu bapa bahawa anak mereka berubah setelah menyertai APM, malah dikatakan lebih berdisiplin daripada sebelumnya,” katanya,

Effendy berkata ia selaras dengan seruan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad yang meminta golongan belia menjadikan APM sebagai sebahagian daripada cabang khidmat sukarelawan yang boleh mereka sertai.

Artikel Berkaitan:

Dr Mahathir sebelum ini berkata beliau mahu APM menarik lebih ramai generasi muda menyertai pasukan sukarela itu sebagai langkah membentuk golongan itu menjadi lebih berkemahiran, berdisiplin dan memiliki jati diri tinggi. - Bernama