Kerap 'terkucil' tanpa sengaja

A
A

ANDA musykil doktor jawab

KENCING tidak lawas membuatkan wanita sukar untuk menahan kencing.
KENCING tidak lawas membuatkan wanita sukar untuk menahan kencing.

SOALAN 1

DOKTOR, saya menghadapi masalah sukar untuk mengawal air kencing. Apabila kerap batuk atau bersin, tanpa sengaja air kencing akan terkeluar.

Masalah itu amat menghantui saya terutamanya apabila berkaitan bau minyak atau makanan yang membuatkan saya terbersin dan air kencing akan keluar. Apakah penyebabnya dan bolehkah masalah itu dirawat?

-INSAN SEGAN, SALMAH HASAN, 46, KEMAMAN, TERENGGANU

JAWAPAN:

SEBENARNYA apa yang puan hadapi itu disebabkan masalah pembuangan air kencing tidak lawas ataupun dipanggil sebagai stress incontinence.

Ia bermaksud pembuangan air kencing secara tidak sengaja apabila pundi kencing mendapat tekanan akibat batuk, selesema teruk, mengangkat benda berat, ketawa dan juga semasa mengadakan hubungan seksual.

Tekanan yang dihadapi menyebabkan otot-otot dan tisu yang menyokong pada bahagian pundi kencing menjadi lemah.

Bagi mengatasi masalah itu, puan boleh lakukan latihan mengawal pundi kencing. Pergi ke tandas dengan lebih kerap untuk mengurangkan gejala stress incontinence.

Puan juga dinasihatkan mengelak mengambil minuman kafein yang tinggi atau alkohol. Kandungan itu boleh mengganggu fungsi pundi kencing.

Senaman

Jangan lupa juga mengamalkan senaman kegel atau kemutan untuk menguatkan otot lantai pelvis dan sentiasa memakai pad untuk ke mana-mana. Dapatkan rawatan batuk teruk bagi mengatasi masalah air kencing tiba-tiba keluar.

Selain itu, terdapat juga ubat seperti oxybutynin dan tolterodine yang berfungsi merehatkan pundi kencing supaya air kencing tidak keluar begitu sahaja tanpa kawalan.

Jika keadaan masih tidak terkawal, dapatkan rawatan dan nasihat daripada pakar.

Tanda jangkitan saluran air kencing

SOALAN 2

DOKTOR, saya ada masalah kencing kotor dan berbau. Masalah itu berlarutan hingga sebulan lamanya. Selain itu, saya turut menderita sakit pinggang bahagian kanan terutamanya apabila buang air kecil.

Bantu saya doktor, adakah terdapat pendekatan lain untuk saya merawat masalah ini?

- RISAU SAKIT KRONIK, IDRIS JUSOH, 43, RAUB, PAHANG.

LAKUKAN ujian air kencing untuk mengetahui masalah anda.
LAKUKAN ujian air kencing untuk mengetahui masalah anda.

JAWAPAN:

MERUJUK apa yang diberitahu oleh tuan, ia adalah tanda-tanda jangkitan kuman pada saluran air kencing.

Untuk langkah awal, saya sarankan tuan minum air kosong sebanyak dua liter sehari.

Pada masa sama, tuan digalakkan untuk pergi ke klinik bagi mendapatkan rawatan segera. Ia bagi mengesahkan jika terdapat jangkitan kuman pada air kencing.

Pesakit yang berhadapan dengan masalah jangkitan kuman akan diberikan antibiotik, ubat lawas kencing dan ubat untuk mengalkalikan air kencing.

Jika penyakit yang dihadapi belum sembuh dan masih menunjukkan simptomnya biarpun sudah mengambil antibiotik, saya sarankan pesakit melakukan ujian imasan sinar X. Ia bagi tujuan untuk melihat jika ada masalah penyakit batu karang.

Melakukan hubungan seks boleh meningkatkan risiko kencing kotor terutamanya dalam kalangan wanita.

Namun, bagi pesakit lelaki selalunya jarang mendapat jangkitan kuman pada pundi kencing selepas melakukan seks kecuali jika mereka melakukan seks di luar tabii.

Selain itu, terdapat pelbagai tafsiran berkenaan air kencing kotor. Ada mengatakan air kencing yang mengandungi protein, ada sel darah putih dan sel darah merah berserta rasa sakit ketika membuang air kencing merupakan kencing kotor.

Umumnya apabila melibatkan kencing kotor, doktor selalunya merujuk kepada tafsiran jangkitan kuman pada tempat buang air kencing. Bagi mendapatkan jawapan yang tepat, sebaiknya berjumpa doktor di klinik.

ANEKDOT

KENCING kotor

- Dikenali sebagai urinary tract infection iaitu jangkitan kuman pada saluran air kencing.

- Biasa dialami golongan wanita kerana memiliki saluran air kencing yang sangat pendek.

- Gejala kencing kotor seperti pedih semasa dan sewaktu habis buang air kecil.

- Selain itu, pesakit turut mengadu sakit pada bahagian bawah perut, kerap rasa ingin kencing walaupun kuantitinya sedikit, air kencing berbau busuk, mengandungi darah dan sakit ketika melakukan hubungan seks.

- Bagi mengetahui dengan jelas punca jangkitan, doktor akan melakukan beberapa ujian dengan sampel air kencing.

- Sampel air kencing yang diambil haruslah daripada pertengahan kencing dan bukan pada awal atau akhir bagi mengelak dicemari bakteria yang berada pada saluran awal air kencing.

Cara untuk mencegah air kencing kotor:

- Minum sekurang-kurangnya 10 gelas air sehari bagi membantu mencuci saluran air kencing.

- Hindari tabiat mencuci air besar dari depan. Ia akan membuatkan bakteria dari belakang mengenai faraj lalu memasuki saluran air kencing dan mengundang jangkitan kuman.

- Menukar tuala wanita lebih kerap.

- Membuang air kecil sebelum dan selepas hubungan seks.

Tidak memakai pakaian dalam yang ketat untuk pengaliran udara.

Profil

DR Hafiz
DR Hafiz

Dr Che Muhamad Hafiz Che Baharum merupakan pegawai perubatan di Klinik Kesihatan Lui Muda, Negeri Sembilan.


Bermula dengan hanya RM5 anda telah menyokong Berita Fakta dan Komprehensif kami, sokong berita kami.
Terima Kasih Rakyat Malaysia