Perut ikan berisi sisa plastik

Terdapat lapan objek plastik ditemukan dalam perut ikan berukuran 80 sentimeter itu.
Terdapat lapan objek plastik ditemukan dalam perut ikan berukuran 80 sentimeter itu.
A
A
A

SUKABUMI - Sebuah rakaman video di Indonesia memaparkan isi perut ikan belitung atau mahi-mahi mengandungi sisa plastik termasuk sudu kecil dan bungkusan makanan ringan menjadi tular.

Rakaman yang dikongsi akaun instagram @volunteersindo yang kemudiannya dikongsi semula @infia_fact itu turut mendapat ribuan komen dan ratusan ribu tontonan daripada pengikut akaun tersebut.

Anna Nurjanah yang merupakan pemilik akaun @volunteersindo memberitahu video itu diambil pada akhir Mei lalu.

Ikan tersebut didakwa dibeli dari pasar nelayan di Ujunggenteng, Sukabumi. Menurutnya terdapat lapan sisa plastik ditemukan dalam perut ikan berukuran 80 sentimeter panjang itu.

"Rasa ikan itu memang sedap. Saya kurang pasti adakah habitat ikan itu di perairan Sukabumi atau di tempat lain kerana ia adalah hasil tangkapan nelayan tempatan," ujarnya.

Anna yang mengaku prihatin dengan penemuan itu menyatakan dia sengaja berkongsi video itu untuk tujuan memberi kesedaran supaya tiada lagi penduduk yang membuang sampah hingga mengotorkan lautan.

"Rasa sedih bercampur-baur. Semua objek tersebut masih saya simpan hingga kini," ujarnya. - DetikNews

Artikel Berkaitan: