Hormatilah perasaan minoriti geng alergi durian

No Image Caption
A
A
A

MUSIM durian tiba lagi dan di merata tempat ada saja orang yang jual raja buah itu.

Bagi penggemar durian, inilah masanya untuk mereka menikmati keenakan isi buah yang nama saintifiknya Durio Zibethinus.

Namun tidak semua rakyat negara ini ‘hantu durian’. Terdapat golongan minoriti yang alah dengan buah itu. Bukan setakat tak boleh memakannya, bau pun tak boleh, boleh bikin pening kepala!

Penulis sendiri tergolong dalam kumpulan minoriti itu. Setiap kali tiba musim durian, penulis sentiasa dalam dilema. Antara alahan dengan bau dan keinginan keluarga untuk makan durian.

Dalam rumah, dalam peti ais atau dalam kereta penulis adalah tempat larangan keras untuk membawa masuk durian! Larangan itu nampak macam tak berperikemanusiaan tapi hanya golongan minoriti ini yang tahu seksanya.

Kalau bercerita bab bau... rasanya dalam jarak 50 meter kami sudah boleh menghidunya.

Jika orang lain kata mereka tak terhidu bau durian, bagi kami deria bau terhadap 'kewangian’ buah itu cukup sensitif.

Kadang-kadang ketika di pejabat, ada sesetengah penggemar durian ini yang tidak prihatin dengan penderitaan kami.

Artikel Berkaitan:

Mereka bawa masuk durian dalam pejabat yang berhawa dingin. Naahhhh! Baunya menusuk sampai ke tulang hitam hingga terasa sakit kepala dan kadang-kadang hampir loya serta muntah.

Itu pantang larang kami; bau durian dalam bilik berhawa dingin. Terasa baunya melekat sampai ke anak tekak.

Kami bukan anti buah durian atau mahu cari gaduh dengan pencinta durian, namun memang dilahirkan sebagai golongan minoriti yang cukup alah dengan buah itu.

Jadi kami mohon kepada 'kaki' makan durian, hormatilah juga perasaan kami. Janganlah disepah kulit atau biji durian selepas isinya dilahap.

Janganlah sendawa kuat-kuat kerana aroma itu mampu menyesakkan sistem pernafasan kami.

Paling penting, tolonglah jangan bawa buah durian atau apa-apa pun produk berasaskan durian ke pejabat.