Rakyat diminta sabar, beri kerajaan PH masa

Ming Kai menyampaikan ucapan pada majlis penyerahan baucar 'Kembali ke Sekolah' bernilai RM150 kepada 300 pelajar sekolah yang terdiri daripada keluarga miskin Parlimen Alor Setar, di Pasaraya Pacific Star Prade, di sini.
Ming Kai menyampaikan ucapan pada majlis penyerahan baucar 'Kembali ke Sekolah' bernilai RM150 kepada 300 pelajar sekolah yang terdiri daripada keluarga miskin Parlimen Alor Setar, di Pasaraya Pacific Star Prade, di sini.
A
A
A

ALOR SETAR - Rakyat Malaysia diminta bersabar dan yakin dengan kepimpinan kerajaan PH dengan memberi sedikit masa lagi untuk pihak kerajaan membuktikan apa yang mereka janjikan.

Ahli Parlimen Alor Setar, Chan Ming Kai berkata, beliau yakin pentadbiran di bawah PH berada di landasan yang betul untuk memacu semula perkembangan ekonomi, cuma kesannya masih belum dirasai rakyat buat masa ini.

"Saya yakin keadaan ekonomi Malaysia dijangka akan semakin baik menjelang tahun depan untuk kerajaan mendapatkan 'hasil' sekali gus dapat menunaikan manifesto yang dituntut rakyat.

"Kerajaan kini berhadapan pelbagai kekangan, ia memerlukan masa tambahan untuk membuktikan apa yang mereka janjikan. Walaupun saya faham ada rakyat kecewa dengan kita (kerajaan PH)," katanya, selepas ditemui media pada majlis penyerahan baucar 'Kembali ke Sekolah' bernilai RM150 kepada 300 pelajar sekolah dii Pasaraya Pacific Star Prade, di sini.

Terdahulu, beliau diminta mengulas kenyataan dibuat bekas Naib Presiden PKR, Rafizi Ramli bahawa berdasarkan tinjauan pendapat, penarafan Tun Dr Mahathir Mohamad merosot dalam enam bulan ini sejak beliau mengambil alih jawatan Perdana Menteri.

Dalam pada itu, Ming Kai turut tidak menafikan bahawa tekanan ekonomi yang paling memberi kesan kepada rakyat pada masa ini.

"Saya nampak masalah paling besar dalam kalangan rakyat adalah tekanan ekonomi yang sama ada kita bantu kurangkan beban atau rangsang ekonomi.

"Maka rakyat kena sabar, kerana mulai tahun depan saya yakin keadaan ini akan bertambah baik, sekali gus dapat dirasai mereka, " katanya.

Artikel Berkaitan:

Tambah beliau, kerajaan mempunyai senarai projek diyakini mampu merangsang ekonomi yang boleh dijayakan sekurang-kurangnya bermula tahun depan, sebelum faedahnya dirasai rakyat.

"Mulai tahun depan, kerajaan akan memperoleh RM40 bilion cukai yang belum dikembalikan dan apabila dana itu masuk di dalam pasaran, ia akan merangsang ekonomi selain pelaksanaan beberapa projek mega yang sebelum ini terpaksa ditangguh," katanya.