Pastikan Rohingya tak pupus!

Saifuddin melihat bagaimana petugas di MFH melakukan pembedahan membuang kanser ovari yang dijalankan terhadap seorang etnik Rohingya.
A
A

WALAUPUN kadar kelahiran yang tinggi dalam kalangan masyarakat Rohingya dibimbangi boleh mengancam tahap kesihatan di kem pelarian, namun ia adalah antara usaha survival etnik itu agar bangsa Rohingya tidak lenyap di atas muka bumi.

Itu antara pendedahan Timbalan Komander yang juga pakar rawatan kecemasan di Hospital Medan Malaysia (MFH) berpangkalan di Cox’s Bazar, Kol Dr Umar Sharif A Ghani yang mengakui kadar kelahiran pelarian Rohingya tinggi disebabkan mereka mahu memastikan gerakan penghapusan etnik yang dilakukan di Myanmar tidak berjaya.

Katanya, etnik Rohingya terutamanya di kem pelarian di Bangladesh melahirkan anak sehingga mencecah 42,000 bayi setiap tahun dengan setiap pasangan lazimnya mempunyai antara enam hingga tujuh orang anak.

“Selain faktor kesuburan, Rohingya memilih untuk mempunyai anak yang ramai kerana mencabar kerajaan Myanmar bahawa etnik Islam itu tidak akan pupus dimamah kekejaman dan penindasan.

“Etnik Rohingya yang berada di 27 kem pelarian Cox’s Bazar adalah berjumlah 1.2 juta, manakala 200,000 berada di Malaysia dan 200,000 lagi masih menghuni tanah kelahiran mereka di Myanmar,” katanya kepada Sinar Harian.

Bagaimanapun, Dr Umar Sharif tidak menolak jumlah kelahiran yang tinggi setiap tahun juga berpunca daripada kawalan ketat pasukan keselamatan Bangladesh yang menetapkan had larangan masa kepada etnik Rohingya yang menghuni kem pelarian supaya berada di dalam rumah selepas jam 4 petang.

“Lagipun, pelarian Rohingya ini berkahwin awal. Perempuan umur akil baligh sudah berkahwin. Jadi dalam lingkungan usia 20-an sudah ada dua, tiga orang anak. Sebab itu mereka ramai,” jelasnya.

Dr Umar Sharif
Dr Umar Sharif

Bantuan

Dalam perkembangan lain, Dr Umar Sharif turut menceritakan bentuk bantuan eksklusif ditawarkan kerajaan Malaysia menerusi MFH yang merawat pelarian Rohingya dan juga penduduk tempatan Bangladesh secara percuma.

Katanya, seramai 56 petugas perubatan yang terdiri daripada pelbagai latar bidang kepakaran perubatan misalnya kecemasan, kanak-kanak, keluarga, sakit puan, bius, ortopedik, pembedahan, pergigian, farmasi, pegawai perubatan, jururawat, logistik dan perisikan diterbangkan dari Malaysia.

Kehadiran 56 petugas itu membuktikan Malaysia menunjukkan komitmen yang tinggi menyalurkan bantuan buat pelarian di Cox’s Bazar.

Sinar Harian yang turut sama menyertai kunjungan Menteri Luar, Datuk Saifuddin Abdullah dan delegasi pada 7 Julai lalu dapat melihat bagaimana petugas berkenaan melakukan pembedahan membuang kanser ovari yang dijalankan ke atas seorang pelarian Rohingya.

Jelas sekali, kekuatan pakar perubatan daripada Angkatan Tentera Malaysia (ATM) ini sangat membanggakan negara.

Bahkan, Saifuddin turut memuji fasiliti dan kehebatan petugas perubatan di MFH yang mengklasifikasikannya ibarat sebuah hospital swasta di Kuala Lumpur.

Penyakit

Bercerita lanjut mengenai situasi semasa, Dr Umar Sharif memberitahu, Cox’s Bazar mutakhir ini sedang mengalami musim monsun yang membawa variasi wabak dan penyakit kepada pelarian Rohingya yang menumpang hidup di bumi Bangladesh.

Katanya, selain kes kemalangan jalan raya, mereka juga mengalami penyakit batuk kering, jangkitan paru-paru, hepatitis A dan juga difteria berikutan kondisi kem pelarian yang kurang bersih.

“Di kem mega Kutupalong sahaja mencatatkan 4,000 kes penyakit tibi.

Sabikun Nahar
Sabikun Nahar

“Paling ketara, kes bersalin. Wanita Rohingya lebih gemar bersalin di rumah, namun apabila berdepan masalah atau komplikasi mereka akan datang ke hospital kita. Masalah lazimya melibatkan luka bersalin sebelum ini belum sembuh, kemudian bersalin lagi, itu biasanya berakhir dengan kematian kerana mereka bersalin di rumah,” katanya.

Seorang pelarian Rohingya, Harun Ar-Rasyid, 50, berkata, dia sangat menghargai keprihatinan kerajaan Malaysia terutama sekali petugas perubatan di MFH.

“Sudah dua kali saya mengujungi MFH kerana sakit urat dan alhamdulillah penyakit semakin pulih. Saya mendapat layanan yang baik daripada petugas di MFH,” katanya.

Sementara itu, Sabikunahar Sultan, 33, memberitahu, anak perempuannya, Rufia yang berumur setahun kini dirawat di MFH kerana masalah kaki yang bengkok.

“Anak saya sekarang sudah boleh berjalan sedikit dengan bantuan. Saya berterima kasih dengan doktor di sini,” katanya.

MFH adalah inisiatif di bawah Pejabat Perdana Menteri yang dibangunkan sejak 2017 dalam usaha Malaysia membantu meringankan beban kemanusiaan.

Ops Starlight itu sudah memasuki siri ketiga dan akan diteruskan selagi mana pelarian Rohingya masih terbuang di Bangladesh.

Saifuddin (enam dari kiri) bersama orang kuat MFH yang memberikan sepenuh komitmen bagi membantu pelarian etnik Rohingya di Bangladesh.
Saifuddin (enam dari kiri) bersama orang kuat MFH yang memberikan sepenuh komitmen bagi membantu pelarian etnik Rohingya di Bangladesh.