Pensyarah perlu tutup mulut: GAMIS gesa KPM beri penjelasan

Muhammad Ikhwan Nasyriq Salahin
Muhammad Ikhwan Nasyriq Salahin
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Gabungan Mahasiswa Islam Se-Malaysia (GAMIS) menggesa Kementerian Pendidikan (KPM) menjelaskan mengapa Pensyarah Sains Politik, Abdul Muein Abadi diarahkan untuk tidak lagi menulis sebarang isu politik yang sensitif.

Presidennya, Muhammad Ikhwan Nasyriq Salahin berkata, tindakan yang dibuat itu seolah-olah menunjukkan wujudnya campur tangan politik di dalam universiti.

“Mengapa isu seperti ini masih timbul pada era Malaysia Baharu di bawah kerajaan Pakatan Harapan (PH) dengan membisukan ahli akademik daripada mengeluarkan pandangan dan kritikan terhadap isu-isu penting seperti ini.

“Sekiranya ahli akademik ini tidak mendapat sokongan dan pembelaan daripada pihak KPM, GAMIS tidak akan teragak-agak mengerahkan mahasiswa untuk turun ke Putrajaya bagi menuntut keadilan dan hak kebebasan ahli akademik,” katanya kepada Sinar Harian.

Beliau menambah, GAMIS menyatakan solidariti terhadap Abdul Muein dalam isu ini, yang mana secara jelas telah diugut kerana dituduh menabur fitnah dan menyebarkan kepalsuan melalui penulisannya dalam Facebook.

Sedangkan katanya, kenyataan yang dibuat pensyarah itu adalah hasil kajian beliau yang berfakta, sekali gus menempelak tuduhan bahawa beliau menabur fitnah dan menyebarkan kepalsuan.

ARTIKEL BERKAITAN: Pensyarah UKM diarah henti tulis isu politik sensitif

Terdahulu, Penasihat Media Perdana Menteri, Datuk A Kadir Jasin menegur tulisan Abdul Muein kerana didakwa menyebar maklumat palsu, tidak lengkap dan membuat kesimpulan songsang mengenai kerajaan PH.

Susulan itu beliau meminta Abdul Muein berhenti menulis hal berkaitan isu politik.

Artikel Berkaitan: