Kerajaan Selangor hasrat kembangkan TVET

Azmi (kiri) mendengar soalan daripada peserta sewaktu Program Dialog Bajet 2020 Hab Pendidikan Holistik: Pemacu Agenda 'Selangor Maju Bersama' yang berlangsung di Hotel Tenera hari ini
Azmi (kiri) mendengar soalan daripada peserta sewaktu Program Dialog Bajet 2020 Hab Pendidikan Holistik: Pemacu Agenda 'Selangor Maju Bersama' yang berlangsung di Hotel Tenera hari ini
A
A
A

BANGI - Kerajaan Selangor berhasrat untuk mengembangkan lagi Pendidikan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) dalam usaha bagi mengubah keupayaan tenaga kerja kepada bentuk automasi.

Pegawai Kewangan Selangor, Datuk Nor Azmi Diron berkata, pada masa kini, kebanyakan tenaga kerja khususnya dalam sektor 3D (kotor, bahaya dan sukar) mendapat penglibatan yang tinggi daripada warga asing dan keadaan itu menyebabkan bilangan golongan berkenaan turut bertambah di negara ini.

Beliau berkata, dengan mengembangkan lagi pendidikan TVET dalam kalangan pelajar, ia bukan sahaja dapat mengautomasikan kerja-kerja rutin dengan menggunakan mesin malah turut menyumbang kepada pengurangan kebergantungan tenaga kerja warga asing khususnya di negeri ini.

"Apabila kita kembangkan TVET, akhirnya keupayaan tenaga kerja kita adalah kepada bentuk automasi dan akhirnya ini membantu kepada pengurangan warga asing di negara ini,"katanya selepas Program Dialog Bajet 2020 Hab Pendidikan Holistik: Pemacu Agenda 'Selangor Maju Bersama' yang berlangsung di Hotel Tenera hari ini.

Dalam pada itu, Nor Azmi berkata, selain aspek pendidikan, peluang pekerjaan juga merupakan antara komponen penting di bawah pengurusan kerajaan negeri.

Oleh sebab itu, beliau berkata bidang keusahawanan merupakan salah satu usaha yang perlu digembleng secara bersama oleh semua pihak bagi membantu mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan khususnya buat para graduan universiti.

"Tanpa platform keusahawanan, kita tidak akan berjaya mencipta peluang pekerjaan dan sebagainya. Disebabkan itulah bidang ini perlu dibangunkan secara bersama," katanya.

Artikel Berkaitan: