Pelajar berdaftar di PASTI meningkat setiap tahun

Aminur
A
A

YAN - Jumlah pelajar baharu di Pusat Asuhan Tunas Islam (PASTI) di Kedah meningkat saban tahun dan ini menunjukkan kepercayaan ibu bapa kepada institusi ini adalah tinggi.

Pengarah PASTI Kedah, Aminur Syafik berkata, pada tahun 2018 jumlah pelajar yang dicatatkan ialah 13,988 orang.

Katanya, jumlah tersebut meningkat sebanyak lima peratus menjadi 14,500 orang pada tahun ini.

"Peningkatan ini menunjukkan kepercayaan ibu bapa kepada institusi pendidikan awal anak-anak mereka menjurus kepada PASTI," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut Aminur, kualiti pembelajaran di PASTI yang sangat bagus menjadikan ia faktor utama ibu bapa memilih institusi berkenaan.

"Guru-guru PASTI juga sudah pun diwajibkan mengikuti program Diploma Pendidikan Awal Kanak-kanak (DPAK) di bawah kelolaan Institut Perguruan Pasti Malaysia (IPPM)," katanya.

Aminur berkata, ini adalah bertujuan untuk meningkatkan mutu dan kualiti profesion perguruan mereka ketika mengendalikan pelajar.

Menurut Aminur kewujudan 300 buah Pasti berdaftar di seluruh Kedah membolehkan ibu bapa membuat pilihan yang tepat.

"Apa yang penting, kualiti pengajaran dan pembelajaran di PASTI ini juga diakui oleh ibu bapa yang berpendidikan tinggi.

"Mereka juga turut menghantar anak-anak mereka bagi mendapatkan pendidikan awal di PASTI dan ini adalah sesuatu yang sangat membanggakan," katanya.


Bermula dengan hanya RM5 anda telah menyokong Berita Fakta dan Komprehensif kami, sokong berita kami.
Terima Kasih Rakyat Malaysia