Pelawaan Tun M usaha majukan bangsa, masyarakat dan negara

Ahmad Faizal
Ahmad Faizal
A
A
A

IPOH - Kenyataan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad yang mempelawa semua parti Melayu di negara ini menyertai Bersatu dilihat tidak lebih sebagai usaha untuk memajukan bangsa, masyarakat serta negara.

Menteri Besar Perak yang juga Pengerusi Bersatu Negeri, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata, kenyataan berkenaan dilihat bertepatan kerana selaku kaum majoriti di negara ini, kaum Melayu tidak seharusnya ‘lebih banyak ‘berpoliitik’ selain ‘bercakaran’ sesama sendiri.

Menurutnya, kaum Melayu perlu memberikan fokus dalam usaha memajukan bangsa, agama dan diri sendiri.

“Majoriti rakyat di negara ini adalah kaum Melayu. Kalau kaum terbesar bercakar sesama sendiri dan lebih fokus kepada politik, negara ini akan alami kerugian.

“Sekali gus akan menjadikan negara akan alami kegagalan kerana bangsa Melayu adalah bangsa terbesar. Pada pandangan saya, itulah yang dimaksudkan oleh Tun,” katanya pada sidang media hari ini.

Dalam pada itu, Ahmad Faizal turut mengalu-alukan penyertaan daripada ahli-ahli UMNO untuk menyertai Bersatu di negeri ini.

Katanya, penyertaan daripada bekas-bekas ahli UMNO itu hanya terbuka kepada ahli-ahli yang selama ini benar-benar mendukung perjuangan UMNO.

“Saya alu-alukan kemasukan ahli-ahli UMNO, tetapi bukan daripada pemimpin UMNO yang dah rosakkan negara kita ini.

Artikel Berkaitan:

“Kita terima ahli-ahli yang tak tahu cerita, yang benar-benar mendukung perjuangan-perjuangan untuk bangsa, agama, negara tetapi telah ditutup mata, telinga mereka dan mereka tak sedar mereka sedang humbankan negara ke lembah yang dahsyat.

“Kepada mereka yang telah terbuka mata terhadap kepimpinan Perdana Menteri untuk kembalikan negara ini ke landasan yang betul, kita patut terima mereka ini,” katanya.