Suami isteri didenda RM4,500 bersubahat perdaya jururawat

SCAM2
SCAM2
A
A
A
KUALA LUMPUR - Seorang warganegara Nigeria dan isterinya, warga Malaysia masing-masing didenda RM4,500 oleh Mahkamah Majistret di sini, hari ini atas pertuduhan bersubahat memperdayakan seorang jururawat untuk menyerahkan wang RM1,550 awal bulan ini.

Majistret Mohamad Aizat Abdul Rahim menjatuhkan hukuman itu ke atas Rustinah Egong, 41, dan suaminya Chigozie Kingsley, 33, warga Nigeria, selepas mereka mengaku bersalah atas pertuduhan yang dibacakan dalam Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris.

Mahkamah turut memerintahkan pasangan suami isteri itu, yang bekerja sendiri, menjalani hukuman penjara lima bulan, sekiranya kedua-dua tertuduh gagal membayar denda itu.

Mengikut pertuduhan, mereka didakwa bersama-sama bersubahat memperdaya Ummi Umairah sehingga mendorongnya menyerahkan wang berjumlah RM1,550 di Pangsapuri Puteri Satu, Taman Puteri di sini, pada kira-kira 2.35 petang, 1 Julai lepas

Mereka dituduh mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum di bawah Seksyen 120B (2) kanun sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum enam bulan, atau denda atau kedua-duanya.
Artikel Berkaitan:


Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Nur Fatin Mohamad Farid memohon hukuman setimpal mengambil kira kepentingan awam, bagaimanapun Rustinah dan Chigozie yang diwakili peguam Muhammad Afif Che Had merayu hukuman denda paling ringan dengan alasan ini kesalahan pertama mereka.

Media melaporkan pada 6 Julai lepas, pasangan itu ditahan sepasukan polis di sebuah kondominium di Cheras pada 12.05 malam susulan laporan polis yang dibuat mangsa yang memberitahu dia mengalami kerugian selepas terpedaya dengan aktiviti ‘parcel scam’.

Mangsa mendakwa ditipu RM1,550 selepas ditipu pasangan itu yang menyamar sebagai doktor dari sebuah negara di Eropah yang memintanya memasukkan sejumlah wang bagi mendapatkan hadiah itu. - Bernama