Pelantikan mak nyah dalam CCM cetus kontroversi

No Image Caption
A
A
A

KUALA LUMPUR - Tindakan Kementerian Kesihatan Malaysia melantik seorang lelaki dengan penampilan wanita, Rania Zara Medina sebagai ahli jawatan kuasa sebuah pertubuhan Country Coordinating Mechanism (CCM) mendapat kritikan ramai di media sosial.

Pelantikan tersebut menjadi panas selepas Rania Zara sendiri semalam membuat pengesahan mengenai pelantikan itu di akaun Facebook miliknya.

Rania Zara turut memuat naik surat pelantikannya yang ditandatangani Timbalan Menteri Kesihatan, Dr Lee Boon Chye pada 25 Jun lalu.

Difahamkan Rania Zara mewakili komuniti mak nyah di negara ini dalam CCM.

"Akhirnya, segala persoalan telah terjawab. Undian demi undian, percalonan demi percalonan serta ujian demi ujian telah berjaya ditempuhi. Hari ini (semalam) pelantikan rasmi daripada Kementerian Kesihatan Malaysia telah dinoktahkan.

"Saya dilantik sebagai TG (transgender) Representative for Country Coordinating Mechanism (CCM). Surat lantikan juga akan disempurnakan oleh Timbalan Menteri Kesihatan Malaysia, Dr Lee Boon Chye.

"Dengan ini, saya dgn rendah hati ingin berterima kasih kepada seluruh komuniti dan penyokong-penyokong saya dari mulanya percalonan ini berlaku sehinggalah ke lantikan ini.

"Tanpa kepercayaan anda pasti saya tidak akan dapat menggalas tanggungjawab ini. Saya anggap ini amanah daripada kalian semua. Saya akan cuba lakukan yg terbaik demi kita semua," kata Rania Zara dalam status Facebooknya semalam.

Artikel Berkaitan:

Difahamkan Rania Zara bukanlah transgender pertama yang dilantik menjadi ahli jawatankuasa itu selepas beberapa wakil antaranya Vee Izhar pernah dipilih sebelum ini.

Berdasarkan laman web Global Fund, CCM ialah ahli jawatankuasa kebangsaan di setiap negara yang mengemukakan permohonan pembiayaan kepada Global Fund bagi pihak seluruh negara.

Mereka termasuk wakil daripada kerajaan, sektor swasta, NGO, orang ramai dan masyarakat yang hidup dengan penyakit terutamanya HIV/AIDS.

Bagaimanapun pelantikan Rania Zara menjadi perhatian ramai sehingga menimbulkan kontroversi apabila didakwa kerajaan seolah-olah mengiktiraf komuniti mak nyah sehingga dilantik dalam sebuah pertubuhan peringkat kebangsaan.

"Transgender diangkat dan diiktiraf, apa nak jadi Malaysiaku," komen seorang pemilik akaun Facebook.

"Ya Allah, selamatkan negara kami. Malaysia baharu, transgender dijulang," komen sorang pemilik Facebook lain.

Bagaimanapun, beberapa pengguna Facebook menyatakan sokongan terhadap pelantikan Rania Zara kerana dia secara spesifik mewakili komuniti mak nyah.

Dalam pada itu, Sinar Harian sedang cuba mendapatkan komen daripada Boon Chye, CCM dan juga Kementerian Kesihatan mengenai isu pelantikan itu.