Sering digosip bercinta, Mira akui ibu bapa dah lali

Mira Filzah
Mira Filzah
A
A
A

APABILA memilih untuk bergelar selebriti maka mahu atau tidak, perlulah bersedia berhadapan dengan apa jua ragam dalam industri hiburan seperti gosip ataupun kontroversi.

Bagi pelakon bertubuh genit ini, biarpun masih hijau di dalam industri seni namun sudah melalui pelbagai cabaran.

Kebanyakan menjurus kepada kisah cinta lokasi membabitkan Mira Filzah bersama selebriti lelaki seperti Zizan Razak dan Remy Ishak, sehingga dituduh sebagai punca perpisahan Remy dengan bekas tunangnya baru-baru ini.

Biarpun tidak cepat melatah dengan gosip liar yang bermaharajalela namun akui pemilik nama sebenar Nur Amirah Filzah Badioezaman ini, kedua ibu bapanya iaitu Badioezaman Abd Khalik, 53, dan Faizatul Akmar Hisan, 51, agak cepat terkesan ketika awal penglibatannya dalam industri seni.

No Image Caption

“Ibu bapa saya semakin memahami, awal-awal dulu mereka cepat terkesan, maklumlah mereka bekerja jadi bila ada sahaja cerita fasal saya keluar, kawan-kawan akan bertanya.

“Tapi sekarang mereka dah boleh menerima dan semakin faham. Sehinggakan apa sahaja yang keluar, mereka akan tanya saya dulu,” katanya kepada Sinar Harian.

Tambah Mira, 26, dia juga semakin lali apabila dikaitkan dengan gandingannya dalam drama dan beranggapan itu adalah kemahuan peminat.

Artikel Berkaitan:

"Kalau setakat digosipkan atau pair sebab drama saya tak kisah. Biasalah peminat kalau mereka suka tengok lakonan kita, mereka akan harapkan sesuatu.

"Tapi untuk saya, cukuplah digosipkan kerana drama. Saya tak mahu melarat dan terbawa-bawa ke luar set penggambaran," akuinya.

Malah, Mira juga tidak pernah menetapkan apa-apa kriteria buat mana-mana pelakon lelaki yang bakal menjadi gandingannya di dalam drama.

“Bagi saya kalau tak ada yang baharu, tak adalah orang lama. Tak kisah dia pelakon lama atau baharu, saya sedia sahaja bergandingan.

“Sama-sama berkongsi ilmu di set penggambaran. Kalau digosipkan bercinta, itu menunjukkan gandingan dan lakonan kami berjaya menambat hati penonton,” ujarnya.

Terbaharu, Mira kini sedang sibuk menjalani penggambaran untuk drama terbaharu, Sweet Dreams bergandingan dengan pelakon yang semakin meningkat naik, Ben Amir.