Kereta nasional platform latih tenaga mahir automotif: Tun M

Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad berdialog bersama Ketua-Ketua Pegawai Eksekutif Industri pada Persidangan Pendidikan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) dan Sesi Dialog Bersama Ketua-Ketua Pegawai Eksekutif Industri hari ini. - Foto BERNAMA
Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad berdialog bersama Ketua-Ketua Pegawai Eksekutif Industri pada Persidangan Pendidikan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) dan Sesi Dialog Bersama Ketua-Ketua Pegawai Eksekutif Industri hari ini. - Foto BERNAMA
A
A
A

PUTRAJAYA - Pengeluaran kereta nasional bukan sahaja bertujuan untuk mengembangkan industri pembuatan di negara ini, malah menjadi platform melatih ramai tenaga mahir dalam bidang automotif.

Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, industri automotif adalah antara industri yang boleh ada banyak tenaga mahir kerana sebuah kereta mempunyai 4,000 komponen yang kaedah pengeluaran dan pemasangannya perlu dipelajari.

"Sekarang kita tahu buat kereta dan bila kita tahu merekabentuk dan keluarkan kereta, kita juga belajar tentang kejuruteraan. Banyak langkah kita sudah belajar kerana satu industri sahaja," katanya pada sesi dialog Persidangan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET), di sini hari ini.

Beliau berkata, demikian ketika menjawab soalan Ketua Pegawai Eksekutif Institut Automotif, Robotik dan Internet of Things Malaysia (MARii), Datuk Madani Sahari mengenai TVET sebagai satu kaedah efektif dalam menyelesaikan masalah jurang antara kemahiran pekerja dan kehendak industri automotif.

Dr Mahathir berkata, pemain industri automotif perlu sentiasa meningkatkan keupayaan mereka supaya seiring dengan kecanggihan teknologi pengeluaran kenderaan masa kini.

Berbeza dengan pengeluaran kereta pertama negara Proton Saga, beliau berkata pengeluaran kenderaan hari ini jauh lebih kompleks dengan melibatkan pemasangan sehingga 200 mikrocip komputer bagi membolehkan kereta dipandu dengan lebih mudah.

"Sekarang kita bukan sahaja pasang kereta tetapi kita oversee enjin atau robot yang pasang kereta, jadi bagaimana kita menyelia mesin ini juga menjadi satu kemahiran yang diperlukan untuk keluarkan kereta pada zaman ini.

"Sekarang kereta boleh jalan sendiri dan kita boleh bercakap dengan kereta suruh dia pergi sana sini. Proton Saga pertama tak boleh tetapi kalau beli Proton X70 kita boleh bercakap dengan kereta, kalau duduk seorang, orang kata gila," katanya secara berseloroh.

Artikel Berkaitan:

Dr Mahathir berkata, industri lain seperti aeroangkasa juga memerlukan ramai tenaga kerja mahir memandangkan ia antara industri paling besar yang mengeluarkan komponen dengan Malaysia kini telah mengeluarkan sebahagian daripada komponen kapal terbang untuk Airbus dan Boeing.

Ketika Pameran Aeroangkasa dan Maritim Antarabangsa Langkawi (LIMA) pertama kali diadakan pada 1991, tiada satu pun komponen keluaran Malaysia dipamerkan, tetapi kini hampir separuh daripadanya adalah barangan keluaran Malaysia.

"Saya yakin orang Malaysia ada kebolehan yang tidak kurang daripada bangsa lain, soalnya hendak atau tidak sahaja. Kalau tak mahu belajar, kita ketinggalan," katanya.

Menyentuh mengenai tenaga mahir dalam industri kreatif, Dr Mahathir berkata, Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) yang diterajui Ahmad Idham Ahmad Nadzri selaku ketua pegawai eksekutif yang baru dilantik Mac lepas, perlu menggembleng usaha bagi memastikan kecanggihan peralatan penggambaran masa kini diterjemahkan dalam pengeluaran filem tempatan.

“Ada banyak benda yang kita boleh lakukan. Saya yakin satu daripadanya kita lantik orang baru untuk ketuai FINAS.Saya harap awak tidak hampakan kami. Saya tak boleh tolong banyak sebab tidak kreatif seperti mereka tapi saya kreatif dalam politiklah.

“Peralatan sekarang ini amat canggih, boleh buat segala-galanya. Sekarang patut belajar guna alat-alat ini dan baca buku cerita banyak-banyak,” katanya sambil berseloroh pembikin filem tempatan tidak perlu terlalu banyak menghasilkan cerita hantu.- Bernama