Irfan Wafiy gigih hadapi percubaan UPSR

Ibu Irfan Wafiy, Norlela Abu Hashim, 45 melihat kaki anaknya itu.
Ibu Irfan Wafiy, Norlela Abu Hashim, 45 melihat kaki anaknya itu.
A
A
A

JOHOR BAHRU - "Sekarang ini, saya masih lagi membuat persiapan akhir untuk menghadapi peperiksaan percubaan Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR) pada minggu depan," ujar Irfan Wafiy Idham Wazir, 12.

Murid Tahun Enam Sekolah Kebangsaan (SK) Taman Bukit Dahlia itu disahkan menghidap Myokymia iaitu sejenis penyakit yang menyebabkan beberapa anggota badan menggeletar.

Anak keempat daripada lima beradik itu diuji dengan penyakit seakan-akan Parkinson selepas dipercayai terdedah dengan pencemaran kimia Sungai Kim-Kim pada Mac lepas.

Menurut Irfan Wafiy, walaupun keadaan kesihatannya kurang memberangsangkan dia masih tetap bersemangat hadir ke sekolah setiap hari.

"Masih lagi banyak latihan yang perlu saya buat. 15 Julai nanti saya akan hadapi peperiksaan percubaan UPSR.

"Apatah lagi, subjek Sains dan Matematik yang paling saya risaukan. Tetapi, saya sangat berharap dapat buat yang terbaik untuk peperiksaan percubaan ini juga peperiksaan sebenar nanti.

"Saya juga mengikuti tuisyen," katanya ketika ditemui selepas Majlis Penyampaian Sumbangan Bencana Pencemaran Udara di Sekolah Agama (SA) Taman Mawar, di sini hari ini.

Artikel Berkaitan:

Para penerima sumbangan Bencana Pencemaran Udara di SA Taman Mawar.
Para penerima sumbangan Bencana Pencemaran Udara di SA Taman Mawar.

Irfan Wafiy merupakan antara 58 murid dari sekolah agama Zon Pasir Gudang termasuk 11 guru agama yang menerima sumbangan yang disampaikan Pegawai Pendidikan Islam Daerah Johor Bahru, Johari Musa.

Murid berkenaan yang bakal menduduki peperiksaan UPSR pada September depan bersyukur menerima sumbangan berkenaan.

Bercerita keadaan kesihatannya, Irfan Wafiy berkata, kedua-dua kakinya seperti terkena renjatan elektrik apabila disentuh.

"Setiap hari, saya terpaksa mengambil lebih 10 biji ubat termasuk ubat sawan tahan sakit serta jantung selain suplimen dan kebiasaannya selepas makan pada jam 2 petang dan sebelum tidur, saya jadi ngantuk," katanya yang bercita-cita mahu menjadi doktor atau saintis

Dalam pada itu, Johari berkata, sumbangan menerusi tabung bencana pencemaran udara adalah inisiatif Pejabat Pendidikan Islam Johor Bahru.

"Ia menerusi kutipan sejak 26 Jun lepas. Kali ini penerimanya membabitkan 47 murid dan 11 guru membabitkan sembilan sekolah yang terjejas dan insiden ini," katanya.