Penyeludup ketum cedera rempuh pokok

Polis menemui 450 kg daun ketum dalam kereta suspek yang remuk akibat merempuh sebatang pokok di Bukit Wang di sini, semalam.
Polis menemui 450 kg daun ketum dalam kereta suspek yang remuk akibat merempuh sebatang pokok di Bukit Wang di sini, semalam.
A
A
A

JITRA - Cubaan seorang penyeludup daun ketum melarikan diri daripada polis gagal apabila kereta dipandunya terbabas lalu merempuh sebatang pokok jati di Jalan Bukit Wang di sini kelmarin.

Ketua Polis Daerah Kubang Pasu, Superintendan Mohd Ismail Ibrahim berkata, dalam kejadian kira-kira jam 3 pagi itu, lelaki berusia 35 tahun itu cedera di kaki kiri dan dikejarkan ke Hospital Sultanah Bahiyah di sini untuk mendapatkan rawatan.

Menurutnya, kehadiran kereta berkenaan dalam keadaan mencurigakan disedari oleh dua anggota kereta peronda polis (MPV) yang sedang bertugas sebelum mengarahkan pemandunya memberhentikan kenderaan.

"Bagaimanapun, pemandu terbabit enggan memberhentikan kereta dan terus memecut bagi mengelak ditahan polis," katanya dalam satu kenyataan.

Menurutnya, anggota polis bertindak mengejar suspek sebelum kereta berkenaan terbabas lalu melanggar sebatang pokok di bahu jalan.

"Pemeriksaan lanjut dalam kereta jenis Honda City itu berjaya menemui 20 bungkusan plastik hitam mengandungi daun ketum di bahagian tempat duduk belakang dan 16 bungkusan lagi di but kereta dengan anggaran berat keseluruhan daun ketum sebanyak 450 kilogram (kg).

Mohd Ismail berkata, terdahulu anggotanya turut menahan sebuah kereta jenis Perodua Axia di lokasi sama kira-kira setengah jam sebelum kejadian itu.

"Kereta tersebut didapati berada di tepi Jalan Bukit Wang dan pemeriksaan menemui sembilan bungkusan mengandungi daun ketum di dalam ruang but kereta dengan anggaran berat kira-kira 122kg.

Artikel Berkaitan:

"Kita seterusnya menahan pemandu kereta tersebut iaitu seorang lelaki berusia 26 tahun yang dipercayai rakan kepada pemandu kereta Honda City terbabit itu.

"Suspek didapati mempunyai tiga rekod jenayah termasuk di bawah Akta Racun dan dadah.

"Kedua-dua suspek yang berasal dari Perlis itu ditahan dan siasatan dilakukan mengikut Seksyen 30 (3) Akta Racun 1952," katanya.