Kerajaan mungkin mansuh tol empat lebuh raya diambil alih: Guan Eng

Lim Guan Eng. - Foto: SHARIFUDIN ABDUL RAHIM
Lim Guan Eng. - Foto: SHARIFUDIN ABDUL RAHIM
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kerajaan memberi gambaran memansuhkan sepenuhnya kutipan tol atau caj kesesakan bagi empat lebuh raya yang bakal diambil alih, bergantung kepada kedudukan kewangan negara.

Menteri Kewangan, Lim Guan Eng berkata, jika kutipan tol terpaksa juga dikenakan selepas baki tempoh konsesi bagi menampung kos operasi dan penyelenggaraan, kadarnya akan lebih rendah berbanding ketika ini.

Beliau berkata, caj kesesakan yang akan diperkenalkan bagi menggantikan bayaran tol, akan dikenakan mengikut tempoh baki konsesi empat lebuh raya itu.

“Caj kesesakan dikenakan hingga tempoh konsesi tamat. Apabila tamat, kadar tol akan turun lagi banyak. Ia tak dimansuhkan kerana masih perlu tampung kos operasi dan penyelenggaraan.

“Saya tak mahu beri harapan palsu. Bagi saya, lebih baik percuma. Tapi paling teruk sekali pun, pengguna hanya perlu bayar kadar tol yang amat rendah bagi menampung kos operasi dan penyelenggaraan,” katanya kepada pemberita di lobi Parlimen, hari ini.

Guan Eng mengulas beberapa soalan yang diajukan oleh Datuk Seri Dr Wee Ka Siong (BN-Ayer Hitam) kepadanya di Dewan Rakyat, mengenai rasional kerajaan mengambil alih empat lebuh raya dengan tawaran RM6.2 bilion serta keuntungannya kepada pengguna.

Ka Siong yang juga Presiden MCA, turut mempersoalkan mengapa kerajaan memperkenalkan caj kesesakan berbanding memansuhkan sepenuhnya bayaran tol, selain mendakwa tiga daripada lebuh raya itu dikatakan mengalami kerugian kerana penurunan jumlah kenderaan.

Mengulas dakwaan Ka Siong itu, Guan Eng menafikan tiga lebuh raya berkenaan mengalami kerugian kerana keuntungan bagi semua lebuh raya itu sudah termaktub dalam perjanjian konsesi.

Artikel Berkaitan:

“Memang nampak mereka rugi sekarang, tapi akan untung di akhir tempoh konsesi. Jika tak untung, dia tak akan buat lebuh raya dan tiada pemiutang akan pinjamkan wang,” katanya.

“Caj kesesakan yang dikutip juga cukup untuk menampung penerbitan bon atau pembayaran hutang sebanyak RM6.2 bilion bagi pengambilalihan empat tol ini, sekali gus kerajaan tidak perlu mengeluarkan sebarang kos,” katanya.

Pada 23 Februari lalu, Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad mengumumkan cadangan mengambil alih empat konsesi lebuh raya bertol di mana syarikat GAMUDA mempunyai kepentingan dalam syarikat berkenaan.

Empat lebuh raya yang terbabit ialah Lebuhraya Damansara Puchong (LDP), Sistem Penyuraian Trafik KL Barat (SPRINT), Lebuhraya Shah Alam (KESAS) dan Terowong SMART (SMART).

Guan Eng sebelum ini dilaporkan berkata, pengambilalihan empat lebuh raya itu dijangka selesai 31 Disember ini, manakala pelaksanaan caj kesesakan bermula pada 1 Januari 2020.