KPDNHEP teliti teknologi bungkusan retort: Saifuddin Nasution

Saifuddin Nasution
Saifuddin Nasution
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) sedang meneroka teknologi bungkusan 'retort' yang membolehkan makanan disimpan lebih lama.

Menterinya, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata teknologi itu akan membantu lebihan makanan disimpan sebelum diagihkan kepada mereka yang memerlukan.

Beliau berkata kementeriannya telah menghantar sampel makanan ke makmal swasta untuk melakukan ujian 'retort' bagi melihat keberkesanannya.

"Teknologi retort iaitu makanan yang kita ambil, kemudian kita bungkuskan dalam bungkusan kedap udara, dan masuk dalam mesin retort dengan suhu 125 darjah celsius selama 25 minit.

"Setakat ini, setelah kita hantar ke makmal swasta ia disahkan selamat untuk kita memanfaatkannya pada masa depan, jika berlaku musibah banjir umpamanya," kata beliau pada sesi soal jawab lisan di Dewan Rakyat, hari ini.

Bungkusan retort adalah pembungkusan makanan dicipta dengan pemprosesan aseptik yang diperbuat daripada pelbagai lapisan fleksibel laminat. Teknologi itu membenarkan pensterilan pelbagai makanan dan minuman.

Saifuddin Nasution menjawab soalan Datuk Abdullah Sani Abdul Hamid (PH-Kapar) yang ingin tahu cadangan kementerian untuk menambah baik program Food Bank Malaysia sejak ia dilancarkan Disember, tahun lepas.

Terdahulu, menteri itu berkata sehingga Mei lepas, 177,245 isi rumah menerima sumbangan makanan setiap hari melalui program itu dan berjaya menyelamatkan 1,424 metrik tan lebihan makanan. - Bernama

Artikel Berkaitan: