Matta Johor 2019 sasar jualan pakej RM10 juta

Kenny (dua dari kiri) pada sidang media sempena Pameran Matta Johor 2019, di sini.
Kenny (dua dari kiri) pada sidang media sempena Pameran Matta Johor 2019, di sini.
A
A
A

JOHOR BAHRU - Pameran Persatuan Ejen-Ejen Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia (Matta) negeri meletakkan sasaran jualan pakej pelancongan tempatan dan antarabangsa mencecah RM10 juta bersempena acara itu yang akan berlangsung di Ekspo Capital City dekat Tampoi, di sini pada 2 hingga 4 Ogos depan.

Pengerusi penganjurnya, Kenny Ngi berkata, sasaran itu diletakkan berikutan sambutan menggalakkan ekspo terdahulu pada 5 hingga 7 April lepas di lokasi sama iaitu sebanyak RM8.5 juta.

"Pihak kami turut menjangkakan jumlah pengunjung pada kali ini mencecah 13,000 pengunjung berdasarkan sambutan baik diterima pada ekspo terdahulu membabitkan 150 ruang pameran yang akan mempromosikan produk pelancongan masing-masing.

"Malah, sasaran itu dijangka dapat diperoleh kerana kali ini 45 agensi pelancongan dari seluruh negara turut mengambil bahagian," katanya pada sidang media sempena Pameran Matta Johor 2019 di Hotel Trove, di sini.

Kenny berkata, pameran pelancongan itu turut menyediakan cabutan bertuah menerusi pembelian pakej pelancongan RM500 dan ke atas dengan pelbagai tawaran hadiah menarik.

"Pengunjung dikenakan bayaran RM3 bagi dewasa dan percuma bagi kanak-kanak untuk memasuki ke ruang pameran disediakan," katanya memberitahu pihaknya turut mengadakan pameran sama di The Summit Batu Pahat pada 27 dan 28 Julai depan dengan sasaran jualan RM8 juta.

Dalam pada itu, beliau berkata, keunikan Johor yang memiliki pelbagai taman tema masih menjadi pilihan para pelancong memilih tawaran disediakan pada pameran berkenaan.

"Johor mempunyai pelbagai taman tema seperti Legoland dan terkini Desaru Coast Adventure Waterpark sememangnya menjadi pilihan pelancong untuk bercuti," katanya.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, beliau turut menasihatkan orang ramai berhati-hati memilih agensi pelancongan supaya tidak menjadi mangsa penipuan.

"Sekarang ini, pengguna lebih suka terlibat secara langsung dengan pameran seperti ini apabila dilihat banyak membeli pakej percutian daripada pameran berbanding melakukannya secara dalam talian.

"Ada dalam kalangan agensi pelancongan tidak berdaftar dengan kami, jadi kita khuatir orang ramai boleh menjadi mangsa penipuan," katanya.