Mengucap panjang lihat ribut 'mengamuk'

Nasuha menunjukkan keadaan kedai yang rosak akibat dipukul ribut dalam kejadian petang semalam.
Nasuha menunjukkan keadaan kedai yang rosak akibat dipukul ribut dalam kejadian petang semalam.
A
A
A

RANTAU PANJANG - Ribut kuat yang 'mengamuk' sehingga menyebabkan enam buah kedai di pekan ini mengalami kerosakan semalam disifatkan sebagai kejadian cukup menakutkan oleh peniaga.

Mana tidaknya, pusaran angin seolah-olah 'puting beliung' itu membuatkan mereka 'mengucap' panjang kerana inilah kali pertama melihat kejadian itu di depan mata.

Seorang peniaga, Nasuha Zakaria, 22, berkata, kejadian sekitar jam 5 petang itu berlaku ketika dia sedang berkemas untuk pulang ke rumah selepas selesai menjalankan urusan jual beli.

"Tiba-tiba saya ternampak ribut seolah-olah puting beliung telah menerbangkan barangan perniagaan milik rakan yang terletak di hadapan kedai.

"Ketika itu saya hanya mampu berdoa moga diselamatkan daripada kejadian tersebut," katanya.

Menurutnya, dia bersyukur apabila tiada kemalangan jiwa berlaku dalam kejadian itu.

Peniaga membersihkan kawasan premis perniagaan mereka yang terkesan akibat kejadian ribut.
Peniaga membersihkan kawasan premis perniagaan mereka yang terkesan akibat kejadian ribut.

Katanya, mujurlah ketika kejadian tiada sebarang urusan jual beli berlangsung.

Artikel Berkaitan:

"Kebanyakan peniaga sedang rancak berkemas untuk menutup premis perniagaan masing-masing," katanya.

Nasuha berkata, dua minggu lalu ribut pernah melanda kawasan itu namun tidak sekuat semalam.

Katanya, ribut semalam disifatkan antara yang terburuk pernah berlaku di kawasan itu.

"Kami peniaga sentiasa berdoa moga dijauhkan daripada kejadian-kejadian ribut kuat seperti ini," katanya.

Tinjauan Sinar Harian mendapati kebanyakan peniaga masih lagi 'bercuti' dengan mengambil kesempatan membersihkan kawasan sekitar.

ARTIKEL BERKAITAN Ribut badai Rantau Panjang