Pencemaran udara Pasir Gudang: Kanak-kanak berdepan obesiti

Matsuura (kiri) menerima cenderamata dari wakil APM Johor selepas selesai memberikan taklimat pada program berkenaan.
Matsuura (kiri) menerima cenderamata dari wakil APM Johor selepas selesai memberikan taklimat pada program berkenaan.
A
A
A

JOHOR BAHRU - Masalah obesiti antara risiko yang bakal dihadapi golongan kanak-kanak di Pasir Gudang sekiranya masalah pencemaran udara di kawasan berkenaan tidak diatasi dalam tempoh masa yang panjang.

Pakar Agensi Kerjasama Antarabangsa Jepun (Jica), Dr Shohei Matsuura berkata, perkara itu mengambil iktibar daripada apa yang berlaku ketika tragedi keracunan merkuri di Kumamoto, Jepun pada 1960-an.

"Semuanya bermula apabila keadaan persekitaran yang bahaya dan kanak-kanak kemudiannya tidak dibenar melakukan aktiviti di luar.

"Ia mungkin akan membawa kepada masalah ini (obesiti) kerana tiada peluang membuat aktiviti kecergasan atau bersenam.

"Bagaimanapun, perkara ini dilihat dari pelbagai aspek, bergantung kepada keadaan sebenar, kawasan itu, cuma berdasarkan apa berlaku di Jepun dan insiden tersebut besar ia mungkin memberi kesan kepada beberapa tahun mendatang," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita semasa menghadiri sesi perkongsian khas pakar Jica sempena Program Pengurangan dan Pengurusan Risiko Bencana di Bilik Gerakan Bencana Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Johor di sini hari ini.

Matsuura berkata, dirinya tidak dapat memberikan penjelasan lanjut mengenai apa yang berlaku di Pasir Gudang tetapi jika mengambil contoh kejadian bencana kimia di Jepun, kebanyakannya adalah berpunca daripada pembangunan ekonomi sedang pesat membangun.

"Kejadian di Kumamoto berlaku pada tahun 1960-an, ia adalah ketika sebelum Jepun mulai membangun. Jadi kalau kita lihat salah satu puncanya adalah perkembangan teknologi dan ekonomi yang pesat.

Artikel Berkaitan:

"Mungkin juga ini adalah apa yang Malaysia sedang alami dan berdepan sekarang. Punca lain pula mungkin disebabkan isu kesihatan atau persekitaran," katanya.

Sementara itu, katanya, Jica juga tidak keberatan untuk memberikan bantuan atau kerjasama untuk menangani masalah di Pasir Gudang sekiranya mendapat permintaan untuk melakukan kajian di kawasan itu.

"Buat masa ini saya tidak pasti (adakan kerjasama), tetapi jika ada permohonan daripada kerajaan negeri yang mahu bersama, kami sudi untuk berkongsi pengalaman," katanya.

ARTIKEL BERKAITAN: Sisa toksik bawah tanah disyaki punca pencemaran Pasir Gudang

Terdahulu, udara di kawasan Pasir Gudang tercemar disebabkan pembuangan sisa toksik bawah tanah sejak bertahun-tahun lamanya.

Perkara itu disyaki menjadi punca pencemaran udara di kawasan Pasir Gudang.

Profesor Kejuruteraan Kimia, Jabatan Kejuruteraan Kimia, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Datuk Ir Dr Wan Ramli Wan Daud berkata, terdapat kemungkinan saluran air bawah tanah di kawasan Pasir Gudang telah tepu dengan bahan toksik.

Jelas beliau, sisa toksik tersebut telah meresap daripada bawah tanah dan meruap ke permukaan sehingga membentuk gas toksik dan tersebar ke seluruh kawasan berhampiran.

"Pelupusan bahan kimia toksik di Sungai Kim Kim tidak menjadi satu daripada sumber yang mengakibatkan pelepasan gas toksik kerana gas itu masih terdapat di situ walaupun Sungai Kim Kim sudah dibersihkan.

"Saya mengesyaki sisa kimia telah dilupuskan di bawah tanah di seluruh kawasan Pasir Gudang selama bertahun-tahun lamanya," katanya menerusi satu kenyataan.