Lapan sindiket proses dadah ditahan, pangsapuri diserbu

Saravanan (dua dari kanan) bersama pegawainya menunjukkan dadah yang dirampas dari sindiket memproses dadah pada 4 dan 5 Julai lalu.
Saravanan (dua dari kanan) bersama pegawainya menunjukkan dadah yang dirampas dari sindiket memproses dadah pada 4 dan 5 Julai lalu.
A
A
A

GEORGETOWN - Lapan ahli sindiket memproses dadah ditahan dalam tiga serbuan oleh sepasukan polis dari Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Ibupejabat Polis Daerah Timur Laut, 4 Julai lalu.

Timbalan Ketua Polis Daerah Timur Laut, Superintendan V Saravanan berkata, ketiga-tiga serbuan yang dilakukan di kawasan Jelutong itu berjaya menahan tujuh lelaki dan seorang wanita tempatan.

Menurutnya, dalam serbuan pertama di sebuah rumah, polis menahan dua lelaki berusia 53 dan 77 tahun dan berjaya merampas dadah jenis heroin dan kafein.

"Polis merampas 7,980 gram heroin bernilai RM105,200 dan 21,215 gram kafein bernilai RM10,200.

"Susulan daripada tangkapan itu, kita menyerbu sebuah kedai kopi pada keesokan harinya iaitu kira-kira jam 12 tengah malam.

"Di kedai kopi tersebut, lima lelaki berusia lingkungan 36 hingga 51 tahun ditahan. Turut dirampas 70.84 gram syabu bernilai RM10,200 dan 50 gram heroin bernilai RM600," katanya pada sidang media di sini hari ini.

Polis berjaya merampas beberapa jenis dadah bernilai RM126,600 daripada lapan ahli sindiket yang ditahan.
Polis berjaya merampas beberapa jenis dadah bernilai RM126,600 daripada lapan ahli sindiket yang ditahan.

Beliau berkata, pada hari sama, polis menyerbu sebuah pangsapuri yang disyaki dijadikan makmal memproses dadah dan menahan seorang wanita berusia 35 tahun pada jam 2 pagi.

Artikel Berkaitan:

"Pemeriksaan mendapati, sindiket berkenaan menjadikan pangsapuri berkenaan sebagai makmal memproses dadah sejak tiga bulan lalu iaitu sekitar April. Difahamkan, sindiket itu telah beberapa kali memproses dadah di kediaman berkenaan sebelum menjualnya di pasaran tempatan.

"Kita menyita beberapa peralatan memproses dadah; wang tunai RM2,571; cincin emas bernilai RM3,000; sebuah kereta Nissan X-Trail (RM18,800), sebuah Proton Saga (RM95,500) dan sebuah skuter Honda (RM8,990). Nilai keseluruhan sitaan adalah RM128,861 manakala nilai keseluruhan dadah berjumlah RM126,600," katanya.

Saravanan berkata, tujuh lelaki yang ditahan mempunyai rekod jenayah melibatkan dadah dan jenayah.

"Wanita tersebut tidak mempunyai rekod jenayah dan siasatan awal mendapati, dia adalah teman wanita kepada salah seorang suspek yang ditahan di kedai kopi pada 5 Julai lalu. Wanita itu merupakan pembantu kepada tujuh lelaki tersebut dalam menjalankan memprosesan dadah.

"Di antara yang ditahan, mereka bekerja sebagai nelayan, penarik kereta dan tukang kayu. Kesemua mereka direman sehingga 11 Julai ini untuk siasatan lanjut. Kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952," katanya.

Tambahnya, sekiranya kesemua dadah tersebut terlepas di pasaran, ia boleh menampung 65,000 penagih di sekitar negeri ini.