Mujahid syor Skuad Badar jumpa kerajaan Kedah

Mujahid
Mujahid
A
A
A

KUALA LUMPUR – Skuad Badar dinasihatkan merujuk permasalahan mereka kepada kerajaan Kedah bukan dengan Jabatan Perdana Menteri (JPM).

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Mujahid Yusof menjelaskan kuasa penguatkuasaan agama terletak di bawah bidang kuasa kerajaan negeri.

Beliau sekali lagi menegaskan, kewujudan dan gerak kerja Skuad Badar dianggap bertindih dengan penguatkuasaan agama negeri.

“Kuasa penguatkuasaan agama terletak di negeri. Saya jaga Persekutuan, jadi kalau Skuad Badar ini (beroperasi ) di Kedah.. kena jumpa orang Kedah lah, jadi kerajaan negeri urus apa saja masalah dengan orang Kedah.

“Di peringkat Persekutuan kami tidak ada Skuad Badar dan sebagainya. Kita hormati penguatkuasaan itu hanya datang daripada penguatkuasa agama negeri supaya tidak berlaku sebarang percanggahan,” katanya ketika ditemui media, di sini hari ini.

Semalam, kumpulan antikhalwat Kedah, Skuad Badar menuntut dialog dengan polis dan Mujahid.

Pengerusinya, Azhar Mohamad berkata mereka hanya mahu membantu Jabatan Agama Islam menangani masalah sosial.

Sabtu lalu, Mujahid berkata, pertindihan fungsi antara pihak berkuasa agama dan kumpulan persendirian akan menimbulkan kekacauan.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Mazlan Mansor berkata, kumpulan terbabit bukan badan penguat kuasa agama yang sah dan tidak berkuasa menjalankan tindakan penguatkuasaan.

Minggu lalu, Skuad Badar, yang terkenal dengan tazkirah atas kubur kepada pasangan dituduh berkhalwat, mengumumkan untuk meluaskan operasi.