ADUN, bekas kerani mengaku tidak bersalah pecah amanah

Hasan (kanan) mengaku tidak bersalah pecah amanah di Mahkamah Sesyen Ayer Keroh, di sini, hari ini.
Hasan (kanan) mengaku tidak bersalah pecah amanah di Mahkamah Sesyen Ayer Keroh, di sini, hari ini.
A
A
A

MELAKA TENGAH - Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Rambai, Datuk Hasan Abd Rahman dan bekas keraninya, Khuzaimah Abdullah mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Ayer Keroh, di sini, hari ini terhadap pertuduhan penyelewengan dana Strategi Lautan Biru Kebangsaan (NBOS) berjumlah lebih RM300,000 dua tahun lalu.

Tertuduh berusia 57, dan 34, dihadapkan dengan 34 pertuduhan membuat pengakuan terbabit yang dibacakan secara berasingan oleh jurubahasa mahkamah di hadapan Hakim Datuk Mohd Nasir Nordin.

Berdasarkan kesemua pertuduhan terhadap Hassan, tertuduh yang telah diamanahkan ke atas peruntukan NBOS 2016 negeri ini untuk Projek Tanaman Jagung, Tanaman Pisang dan Sayuran-Gantian Cili dan Ternakan Rusa didakwa telah melakukan pecah amanah dengan menandatangani 34 keping cek berjumlah keseluruhan RM318,400.

Bagaimanapun pembayaran kesemua projek berkenaan tidak diterima oleh penerima projek itu.

Kesemua kesalahan itu dilakukan tertuduh di Pejabat JAPERUN Kompleks Pusat Transformasi Luar Bandar (RTC) Sungai Rambai, Jasin antara 20 Februari 2017 hingga 17 Januari 2018.

Khuzaimah Abdullah ketika dibawa keluar Mahkamah Sesyen Ayer Keroh, di sini, hari ini.
Khuzaimah Abdullah ketika dibawa keluar Mahkamah Sesyen Ayer Keroh, di sini, hari ini.

Sementara Khuzaimah yang hadir bertudung serta berjubah hitam didakwa atas pertuduhan bersubahat bersama Hasan melakukan jenayah pecah amanah dana NBOS bagi projek-projek tersebut pada tempat dan masa yang sama.

Kedua-dua mereka didakwa mengikut Seksyen 406 Kanun Keseksaan dengan Khuzaimah dibaca bersama Seksyen 109 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun dan dengan sebat dan hendaklah dikenakan denda.

Artikel Berkaitan:

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Gan Peng Kun mencadangkan jaminan sebanyak RM50,000 setiap seorang dan meminta pasport tertuduh diserahkan kepada mahkamah.

Hasan diwakili Peguam Hamidi Mohd. Noh dan Mohd. Haziq Razali manakala Khuzaimah diwakili Peguam Ahmad Faiq Azizan dan Muhammad Nor Izzat Nordin.

Selepas mendengar rayuan kedua-dua pihak mahkamah kemudian membenarkan kedua-dua mereka dijamin sebanyak RM50,000 setiap seorang dan mengarahkan pasport diserahkan kepada mahkamah.

Mahkamah menetapkan tarikh 20 Ogos sebagai sebutan semula kes.