Wan Azizah kunjung hormat Naib Presiden China

Dr Wan Azizah (kiri) mengadakan kunjungan hormat ke atas Naib Presiden China Wang Qishan di Zhongnanhai sempena lawatan rasmi ke negara itu, hari ini. -Foto Bernama
Dr Wan Azizah (kiri) mengadakan kunjungan hormat ke atas Naib Presiden China Wang Qishan di Zhongnanhai sempena lawatan rasmi ke negara itu, hari ini. -Foto Bernama
A
A
A

BEIJING - Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, yang kini dalam rangka lawatan rasmi empat hari ke China bermula Isnin, hari ini melakukan kunjungan hormat terhadap Naib Presiden Wang Qishan di Zhongnanhai di sini pada Selasa.

Dr Wan Azizah tiba pada 9.25 pagi (sama waktu di Malaysia) dan kedua-dua pemimpin telah membincangkan pelbagai isu yang mempunyai kepentingan bersama dalam pertemuan itu.

Dr Wan Azizah dan rombongan beliau tiba di ibu negara China ini pada 3.20 petang Isnin.

Ini adalah lawatan rasmi sulung beliau ke China sejak beliau mengangkat sumpah sebagai Timbalan Perdana Menteri pada 21 Mei, ekoran kemenangan Pakatan Harapan dalam pilihan raya umum lepas.

Selepas itu, Dr Wan Azizah yang juga Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat mengadakan pertemuan dua hala dengan Naib Perdana Menteri Sun Chunlan yang bertanggungjawab bagi Jawatankuasa Kerja Kebangsaan mengenai Kanak-Kanak dan Wanita di bawah Majlis Negara.

Pada mesyuarat itu, mereka berbincang mengenai usaha yang berterusan untuk memperkukuhkan hubungan Malaysia-China selain tindakan susulan mengenai keputusan-keputusan yang telah dicapai semasa lawatan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad pada Ogos 2018 dan April 2019.

Selain itu turut dibincangkan pada mesyuarat itu ialah mengenai kerjasama dua hala dalam bidang pendidikan, komoditi pertanian, pertanian, pembangunan wanita selain pelancongan dan kebudayaan.

Pada sebelah petang, Dr Wan Azizah dijadual melawat Masjid Dongsi dan bertemu dengan wakil-wakil masyarakat Islam China dan kepimpinan masjid.

Artikel Berkaitan:

Hari kedua lawatan beliau akan diakhiri dengan pertemuan dengan pengarah Jabatan Perhubungan Antarabangsa Parti Komunis China (CPC) Song Tao, diikuti jamuan makan malam anjuran beliau.

Turut mengiringi Dr Wan Azizah dalam lawatan itu ialah Menteri Besar Negeri Sembilan Datuk Seri Aminuddin Harun, Menteri Pendidikan Dr Maszlee Malik, Timbalan Menteri Luar Datuk Marzuki Yahya dan Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Sim Tze Tzin. - Bernama